Pages

Search This Blog

28 Apr 2015

Cerpen : Saya Suka Awak

            “Saya suka awak.”

            Lelaki tu terpinga-pinga. Tak faham apa yang diberitahu perempuan dihadapannya. Tiba-tiba datang berjumpa dengannya dan terus buat sesi luahan perasaan. Apa ni? “Sorry?

            Perempuan tu tersenyum meskipun dalam hati dah bergetar hebat. Macam nak pecah. Sumpah, inilah kali pertama dia buat kerja gila macam ni. “Saya suka awak. Awak dengarkan?”

            Berkerut-kerut dahi lelaki itu. Masih lagi tak faham. “Do I know you?” Soalnya pelik.

            Perempuan tu menggeleng, lepastu bahu dijungkit. Nak beritahu yang lelaki itu langsung tak kenal dia. “Saya tahu awak tak kenal saya. Tapi saya dah lama perhatikan awak. Dan.. Tanpa saya sedar yang saya dah mula sukakan awak.” Senyum lagi. “Saya tak minta awak jadi kekasih saya. Tapi saya just nak awak tahu yang saya sangat sukakan awak.” Dia lepas keluhan. “Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”

            Dan perempuan tu mulakan langkahnya. Bibirnya sentiasa dengan senyuman. Buat pengakuan pada lelaki itu sudah cukup buat hatinya lega. Jiwanya yang resah sebelum ni, kini dah lapang sejurus selepas dia meluahkan apa yang terpendam dalam hati semenjak dulu.

            Sementara si lelaki itu, menggelengkan kepala. “Tak kenal langsung dah boleh terjatuh suka pada aku? Weird.” Dia gelak kecil.

*****

Mata Fikri ralit pandang sesuatu. Kerja yang banyak tergendala disebabkan seseorang itu. Tersenyum bibirnya bila ingat balik kejadian dua minggu lepas. Tak sangka, berani sungguh perempuan itu meluahkan perasaannya secara terang-terangan pada dirinya. Selama ni, bukan perempuan yang luahkan perasaan pada dia, tapi dialah dengan sendirinya meluahkan perasaan pada perempuan yang disukainya.

            “Qim! Siapa perempuan tu?” Sambil tunjuk pada perempuan yang tengah pegang sesuatu ditangannya.

            Shaqqim pandang arah tunjuk kawannya. “Ohh perempuan tu..”

            “Kau kenal ke?” Tanya Fikri.

            “Tak!” Gelak.

            Fikri dah sebal. Rasa macam nak hentak aje si Shaqqim ni pakai kayu. Cakap tadi macam kenal sajalah. Dia kembali pandang perempuan tu. Dalam diam, satu sisinya berminat dengan perempuan tu. Entah kenapa, dia rasa macam perempuan tu ada aura yang tersendiri yang tak ada pada mana-mana perempuan.

            “Apsal Fik? Kau kenal ke?” Arafl yang sejak tadi mendengar, bersuara.

            Fikri ketawa. “Mana ada. Aku tak pernah nampak dia sebelum inilah yang aku tanya.” Lain dihati, lain pula mulut yang berbicara. Betullah apa orang cakap, mulut boleh menyangkal, tapi tidak hati.

            Mata Fikri galak pandang perempuan itu yang semakin menghampiri kumpulan mereka. Dia kembali siapkan kerjanya bila perempuan itu berhenti dihadapan mereka.
            “Hmm assalamualaikum.”

            Shaqqim, Arafl dan Fikri mendongak. Masing-masing berpandangan sesama sendiri sebelum pandang seorang perempuan dihadapan. “Waalaikumussalam.” Jawab Shaqqim seorang.

            “Saya ada jual roti dengan air kotak. Awak bertiga, ada nak beli?” Ramah dan lembut nada pertuturan perempuan itu.

            Arafl senyum. “Tak apalah, kitaorang tak lapar lagi. Pergi jual kat orang lainlah.” Balasnya dingin. Dia memang tak suka bila ada orang yang suka-suki datang berjual beli dengannya. Sebab baginya, biar dia sendiri yang datang pada penjual jikalau dia mahu membeli sesuatu.

            Berubah air wajah perempuan itu. Tapi kembali dimaniskan. Bukan sekali dia dengar ayat macam ni sewaktu dia berjual-beli seperti ini. Dah acapkali. Dia kembali tenang.

            “Hah, betul tu. Lagipun, kitaorang tak makan makanan macam ni. Tak berkhasiat.” Sampuk Shaqqim pula. Tersenyum sinis dia pada perempuan dihadapan mereka.

            Perempuan itu mengangguk. “Tak apalah kalau macam tu. Maaf, saya ganggu. Saya pergi dulu.” Bersama hati yang cuba dicekalkan, dia melangkah. Tapi langkahnya dihalang seseorang dari belakang. Pantas dia menoleh.

            “Saya tak suruh pergi lagi awak dah pergi? Macam ni ke cara awak berniaga? Sangat tak profesional.”

            Ilya pandang lelaki yang berpandangan dengannya. Ohh my, lelaki ni. “Maaf kalau cara saya berniaga buat awak tak suka. Insya-Allah, saya akan cuba ubah cara saya berniaga selepas ni.” Nada terujanya cuba dikawal.

            “Satu roti tu berapa harga dia?” Fikri dah berkira-kira nak keluarkan dompet dia dari kocek belakang seluar.

            Ilya terpinga-pinga. Juga Shaqqim dan Arafl. Macam tak percaya yang kawan mereka yang sememangnya tidak gemar beli makanan yang dijaja, kini sudah berubah tabiatnya. “Sejak bila kau suka beli makanan tepi jalan ni?” Soal Shaqqim.

            Fikri terkejut. Pertanyaan dari Shaqqim macam tak hadam dalam pendengarannya. Tapi dia tetap hulurkan not sepuluh ringgit pada perempuan yang menjual roti itu. Bungkusan roti disambut.

            “Err, tapi.. Harga roti ni seringgit dua puluh sen aje. Saya tak ada duit baki. Awak tak ada duit kecil ke?” Tanya Ilya. Inilah pelanggan pertamanya untuk hari ini. Lagipun dia memang tiada duit baki untuk diberikan pada lelaki ini.

            “Hmm it’s okay. Keep the change.” Senyum.

            “Tapi..”

            “Terima kasih.” Fikri potong ayat perempuan ini bersama senyuman. Lepastu dia kembali duduk sebelum letak bungkusan roti disebelahnya. Kerja yang masih belum disiapkan disambung.

            Sementara Ilya, terdiam. Rasa macam tak sedap pula bila baki duit yang banyak ni dia kena simpan. Ada lagi lapan ringgit lapan puluh sen kot. Takkan dia nak kasi aku macam tu aje baki duit ni?

            Hmm tak apalah. Nanti lepasni kalau lelaki ni beli lagi roti ataupun air kotak pada dia, dia boleh guna balik baki duit ni. Senyum.

*****

Fikri masih lagi pandang perilaku perempuan itu. Semenjak dua minggu dia perhatikan perempuan yang tidak diketahui namanya tu, macam dah boleh hafal jadual hidup perempuan ni. Dia pandang jam dipergelangan tangan. Sekarang dah jam sepuluh pagi. Waktu macam ni, dia selalu berniaga roti dengan air kotaknya disini.

            Selalunya dia hanya ambil masa dua jam aje berniaga sebelum sambung belajar balik. Selalunya macam itulah. Kelas perempuan tu kebiasaannya tamat jam lima petang nanti. Selepas pukul lima, dia langsung tak nampak perempuan tu lagi dah.

            “Saya suka awak. Saya tak minta awak jadi kekasih saya. Tapi saya just nak awak tahu yang saya sangat sukakan awak.” Suara lembut gemersik itu bermain-main di pendengarannya. Serasanya, macam masih baru lagi dia dengar perempuan tu beritahu perasaannya pada Fikri.

            Tersenyum dia sebelum gelak kecil. Macam-macamlah. Tapi dia salute pada perempuan tu. Kalau perempuan-perempuan yang lain, mesti akan pendam rasa tu sampai lelaki yang dia suka jadi milik orang lain. Masa tu barulah nak menyesal tak sudah.

            “Awakk..”

            Suara yang seolah-olah macam dah sebati dengan jiwanya itu, buatkan Fikri sedar dari imaginasinya sendiri. Dia betulkan suaranya sebelum pandang perempuan sama dihadapannya. Ditangan perempuan tu ada sebuah bakul. Dalam bakul tu pula, ada banyak bungkusan roti dan air kotak pelbagai perisa. “Ya?”

            “Nak beli roti? Air kotak?”

            “Hmm boleh juga. Bagi roti dengan air kotak nescafe susu tu eh?” Dia ambil dompetnya dari kocek belakang seluar. Satu not lima ringgit dia keluarkan. Bersedia nak serahkan duit itu pada penjual.

            “Ehh tak apalah. Baki awak yang haritu punya masih ada lagi.” Ilya menolak. Takkan nak kasi duit baru pula kot.

            Straw yang melekat dibelakang air kotak itu dicabut sebelum dibuang pembalutnya. Straw itu kemudiannya ditebuk pada penebuk air kotak lalu disisip air nescafe susu itu.  “Kan saya cakap balance haritu punya, awak ambil aje. Nah, duitnya.” Dia hulur not lima ringgit itu.

            Ilya masih lagi tidak mahu ambilnya. Tetap rasa tak enak hati bila lelaki ini mahu memberi wang yang baru sementelah baki wang itu dia belum ambil lagi. “Tapi..”

            Fikri mengeluh. Susah betul cakap dengan orang yang degil macam ni. Akhirnya, Fikri letak baik-baik not ima ringgit itu dalam bakul yang berisi bungkusan roti sebelum mulakan langkah.

            Ilya mengeluh sekali lagi. Apa masalah lelaki tu sebenarnya? Dah aku cakap yang aku tak nak kan? Lagi dia mahu paksa-paksa. Ish!

*****

Puan Fakhira pandang suaminya sebelum jatuh pada anak sulungnya. “Abang perasan tak apa yang saya perasan?” Soalnya pada si suami. Dah dua minggu dia perasan kelainan pada anaknya.

            “Apa dia?” Encik Zamil yang tengah baca surat khabar segera melipat surat khabarnya dan pandang isterinya. Dahi isterinya yang berkerut itu digosok perlahan.

            “Anak teruna abang tulah. Dah lain dah sekarang.”

            Encik Zamil menoleh pula pada anak terunanya yang tengah tersengih-sengih sambil menonton televisyen. “Cerita seram dia masih boleh tersengih?” Musykil si ayah.

            “Ha itulah. Tadi, Arafl telefon rumah. Dia tanya kenapa saya tak kasi Fik keluar malam sejak dua menjak ni. Pelik pula saya jadinya. Bila masanya entah saya tak kasi Fik keluar malam.” Cerita Puan Fakhira.

            Encik Zamil garu kepalanya. “Dia pun dah lain sekarang. Selalunya lambat aje dia pergi universiti. Sekarang ni, kelas belum mula lagi, setengah jam sebelum dah sampai U dah. Dia okay ke tidak tu?”

            “Itulah yang saya bingung sekarang ni, Encik Zamil oii.” Dia cuit lengan suaminya.

            “Abang pun pernah juga alami benda yang sama macam ni dulu..” Encik Zamil buka cerita. Dah lama dia simpan cerita ni. Mungkin sekarang dah tiba masanya, dia cerita.

            Puan Fakhira berminat nak tahu. Bersemangat dia betulkan duduknya hadap suami disebelah. “Ye ke?”

            “Hmm.. Masa Abang dah jatuh cinta pada awak dululah.”

            “Ehh bukankah kita kahwin bukan atas dasar cinta? Bukankah orang tua kita yang rancang perkahwinan ni?” Tanya Puan Fakhira.

            Encik Zamil menggeleng. “Siapa cakap?”

            “Jadi abang..”

            Encik Zamil angguk. “Dari sekolah menengah lagi abang dah sukakan awak. Awak aje yang tak perasan. Dan abang bersyukur bila awak jodoh abang.”

            “Abangg..” Puan Fakhira tergamam.

            “Ibu.. Ayah..” Fikri garu kepala. Dah dua minit dia berdiri kat sini. Tapi ibu bapanya masih lagi berpandangan sesama sendiri. Nak berasmaradana pun, tunggulah masuk bilik dulu. Ini pergi buat tontonan umum pula kat ruang tamu ni.

            Puan Fakhira dan Encik Zamil berdehem. Sama-sama menoleh pada anak terunanya. “Hah kamu Fik. Cerita seram pun boleh tersengih-sengih ni, kenapa?”

            Fikri sengih. Lehernya digosok. Ibu perasan pula. “Ada part yang kelakar tadi. Itu yang sengih.” Bohongnya.

            Puan Fakhira menggeleng. “Perempuan mana yang dah buat anak ibu macam ni?”

            Fikri kerut dahi. “Maksud ibu?” Dia tak faham.

            Puan Fakhira pegang bahu anak terunanya. Dia ada tiga orang anak. Fikri, Fiona dan Fariez. Fariez baru berumur tujuh belas tahun dan tinggal di asrama sekolahnya. Sementara Fiona, masih lagi belajar di tahun pertama di University of Wollongong, Australia. Tinggallah Fikri sebagai anak sulung di sini. “Ibu faham macam mana perasaan orang muda bercinta macam kamu. Siapa perempuan tu? Tak nak bawa dia jumpa ibu dengan ayah ke?” Senyum.

            “Apa ibu ni? Mana ada perempuan. Fik nak belajar dululah.” Bergetar suaranya.

            “Aik, bukankah Fik cakap haritu Fik nak kahwin lepas habis belajar? Ni apa cerita ni? Sekarang, sem last Fik kan?” Encik Zamil pula bersuara.

            Masa anak terunanya beritahu perkara itu sebelum ni, dia terkejut pada mulanya. Tapi akhirnya, dia sokong disetiap perbuatan anak-anaknya selagi ianya bertetapan dengan agama. Sebab baginya, setiap orang ada pilihan masing-masing.

            “Err..” Fikri mati ayat. Apa aku nak cedok ni? Ya.. Betul apa yang dia beritahu keluarganya sebelum ni. Itu masa dia masih berhubungan dengan Mellina. Tapi sekarang, dia dengan Mellina sudah tiada sebarang ikatan. Dengan siapa pula dia nak ajak kahwin?

            “Kalau ada jodoh Fik dengan sesiapa, insya-Allah takkan ke mana.”

*****

Sudah empat minggu dah Fikri perhati perempuan tu. Tapi tiada tanda dia mahu menegur perempuan itu kalau bukan perempuan itu yang tegur dia dulu, nak beli roti ataupun tidak?

            Tapi harini, entah dari mana datang keberaniannya, dia menegur perempuan itu disaat perempuan itu baru sahaja menapak di hadapannya bersama bakul berisi roti dan air kotak.

            “Hai..” Tegurnya. Topi dikepala dibuka sebelum rambutnya dibetulkan. Topi itu diletak kembali atas kepala. Lolipop di mulut dibawa keluar. Satu bungkus roti bersama air kotak nescafe susu diambil dari bakul. Macam kebiasaannya, tapi kalini dia dah siapkan duit terlebih dahulu. Tinggal tunggu nak hulur aje duit tu.

            Ilya senyum. Inilah kali pertama lelaki ni tegur dia. “Hai balik.” Balasnya.

            “Nama awak apa eh?” Tanya Fikri. Roti dan air kotak dia masukkan dalam sling bangnya.

            “Ilya.” Balasnya sepatah.

            “Just Ilya, huh?” Inilah kali pertama dia jumpa orang yang hanya ada sepatah nama aje. Bukankah orang zaman sekarang semuanya nak nama asal boleh lima muka surat depan belakang kertas kajang sampai tak cukup dia kasi anaknya nama. Tapi yang ni, just Ilya?

            Ilya angguk. “Ilya binti Imran.” Senyum.

            Fikri angguk. Anak perempuan pak cik Imran rupanya. Heh, cakap macam kau kenal aje siapa pak cik Imran tu. “Course apa ni?” Tanya Fikri lagi.

            “Law.” Balasnya sepatah lagi.

            Fikri angguk. Namanya Ilya binti Imran. Jurusan undang-undang. Okay. “Tak takut kena tangkap ke sebab berniaga kat sini?” Soal Fikri.

            “Takut juga. Tapi sebab ini sahajalah sumber pendapatan saya, nak tak nak perasaan takut tu kena buang juga.” Balasnya senyum.

            “Sumber pendapatan awak?” Fikri tak faham.

            Ilya mengeluh. “Encik..” Dia jungkit sebelah kuning.

            “Just Fik. Fikri.” Dia hulur tangan nak bersalaman. Tapi dia tarik balik huluran tu bila nampak Ilya hanya pandang angin sahaja huluran tangannya itu.

            “Maaflah Fikri.. Saya ada kelas. Saya pergi dulu.” Ilya melangkah pergi tanpa toleh belakang lagi dah. Dia ada sebab tersendiri kenapa dia sanggup berniaga di universiti ni. Tak perlulah orang lain tahu.

*****

Esoknya. Seperti biasa, tepat jam sepuluh pagi Fikri sudah berada di tempat kebiasaannya dia menunggu Ilya. Not lima ringgit dia keluarkan awal-awal. Telefon bimbitnya yang berbunyi dia keluarkan dari kocek seluar. Ada WhatsApp dari Shaqqim.

            WhatsApp itu dia balas laju sementara menunggu Ilya. Tapi dah dekat setengah jam dia menunggu disini, namun kelibat Ilya tiada. Dia pandang sekeliling, juga tiada bayangan gadis itu. Sampailah jam sebelas tiga puluh pagi, dia masih menunggu. Bayangan Ilya tetap juga tidak kunjung tiba.

            Keadaan itu berlanjutan sehinggalah enam hari kemudiannya. Tanpa tunggu banyak masa, dia ke bangunan undang-undang. Dia nekad nak cari Ilya. Pelajar yang baru keluar dari satu kuliah dihadapannya dihampiri.

            “Tumpang tanya.. Nampak Ilya?”

            “Ilya dah seminggu tak masuk kelas. Dia balik rumah dia. Dengarnya, emak dia sakit.”

            Fikri berkerut. Emak dia sakit? “Ada nombor telefon dia, tak?”

            Perempuan bertudung itu menggeleng. “Ilya tak guna telefon.”

            “Alamat rumah dia?”

            Perempuan tu pandang Fikri lama sebelum dia sauk begnya dan mengeluarkan sehelai kertas kecil dan juga sebatang pen. Dia catitkan sesuatu di atas kertas itu. Kertas tu dia serahkan pada Fikri.

            Fikri pandang kertas tu. Kuantan, Pahang? Gila jauh dia datang dari sana sampai sini. “Thanks.” Fikri langsung berlari ke arah keretanya.

*****

Fikri membelok keretanya ke kiri bila nampak Waze menyuruhnya supaya berbuat demikian. Kereta diberhentikan dibahu jalan.  Nun dihujung sana, ada sebuah rumah usang. Jauh dari kejiranan. Nampak suram dan sunyi.

            “Inikah rumahnya?” Tanya Puan Fakhira pada anak sulungnya.

            Fikri jungkit bahu. “Iyelah kot. Waze ni berhenti kat sini.” Sambil pandang Waze.

            “Kita turunlah, jom.” Ajak Encik Zamil. Dah sampaikan, duk tercegat dalam kereta buat apa? Memang takkan jumpalah penyelesaiannya kalau duduk terperuk dalam kereta.

            Mereka bertiga keluar dari kereta. Berjalan menghampiri rumah usang itu. Nampak usang gila. Sampai Fikri sendiri takut nak masuk. Nasiblah ada ibu dengan ayah dia. Hilanglah sikit rasa takutnya ni.

            “Assalamualaikum.” Laung Encik Zamil. Dia nampak ada dua pasang selipar dihujung tangga. Sebab itu dia beri salam. Dah ada selipar, mestilah ada orang kan?

            “Assalamualaikum.” Laungnya lagi sekali.

            Lepastu dengar papan rumah dipijak orang sebelum pintu rumah perlahan-lahan terbuka. “Waalaikumussalam.”

            Fikri pandang pintu rumah tu. Tersenyum bibirnya bila nampak gadis yang dicari sudah berdiri dihadapannya. “Ilya..”

            Ilya pandang Fikri. Berkerut-kerut dahinya. Inilah kali pertama dia menerima tetamu semenjak berpindah ke rumah ini. “Fikri.. Awak buat apa kat sini?”

            “Saya cari awak.” Jujur.

            Ilya pandang orang tua Fikri. “Masuklah dulu.” Pelawanya.

            Ilya hidangkan minuman dan sedikit biskut kering pada tetamunya. Tak lupa juga, roti yang selalu dia jual juga dihidangkan. Air nescafe susu juga dihidangnya. Dia tahu yang Fikri gemar minuman itu.

            “Maaflah kalau saya datang ni buat awak susah.” Ujar Fikri. Sungguh, dia rasa sedih bila melihat keliling rumah gadis ini. Selalunya di universiti, gadis itu sentiasa ceria. Senyuman tak pernah lekang dibibir. Tak kisahlah disaat dia dihina oleh kawan-kawannya atau apa sekalipun. Bibirnya tetap tersenyum.

            “Ilya seorang aje ke kat rumah?” Tanya Puan Fakhira.

            “Tak. Ada umi dalam bilik. Tapi umi tengah sakit. Tak boleh nak layan pak cik dengan mak cik. Maaf.” Lembut tutur nada suaranya. Dia menunduk kemudiannya.

            “Boleh mak cik lawat umi Ilya?” Pinta Puan Fakhira.

            Ilya angguk. Dia bangkit diikuti Puan Fakhira, Encik Zamil dan juga Fikri. Ilya bawa tetamunya ke sebuah bilik disebelah ruang tamu. “Umi.. Ada orang nak melawat umi.” Beritahu Ilya perlahan.

            Puan Imsyar buka mata perlahan. Dikeliling katilnya ada dua orang yang dia tidak kenali. Dan seseorang yang seperti pernah dia nampak sebelum ni. Dia pandang anak gadisnya. Ilya senyum segarit sebelum mengangguk. Mengiyakan apa yang difikir oleh uminya.

            “Ehh tak apalah, puan. Baring sahaja. Kami faham dengan keadaan puan sekarang ni.” Ayat Puan Fakhira buatkan Puan Imsyar rebahkan semula tubuhnya di katil. Puan Fakhira urut lengan Puan Imsyar seolah mereka sudah kenal lama.

            “Dah berapa lama jadi macam ni?” Tanya Puan Fakhira. Sementara Encik Zamil dan Fikri hanya mendengar.

            “Dah nak masuk seminggu.” Dengan tersekat-sekat, Puan Imsyar bersuara. Ilya tolong urut dada uminya yang sakit.

            “Dah bawa jumpa doktor?”

            Ilya dan Puan Imsyar berpandangan. “Belum.” Perlahan jawaban Ilya.

            “Kenapa tak bawa?” Prihatin, Puan Fakhira menyoal.

            “Kami orang miskin, mak cik. Tak ada duit nak jumpa doktor. Saya pun terpaksa tangguh pengajian saya sebab nak jaga umi.”

            Puan Fakhira berpandangan dengan suaminya. “Jom. Kami bawa puan jumpa doktor.”

            Ilya serba salah. Dia bersuara macam tu bukan bertujuan mahu meminta simpati dari mana-mana pihak. “Ehh tak payahlah, mak cik. Susahkan mak cik sekeluarga saja.”

            Puan Fakhira senyum. “Apa pula susahnya. Kami mahu tolong apa yang patut aje.”

            “Tak payahlah, puan. Nanti sakit saya ni hilanglah.” Puan Imsyar menolak.

            Fikri bangkit tiba-tiba. “Hmm.. Tak apa, biar Fik suruh doktor datang sini.” Dia terus melangkah keluar dari bilik itu. Halaman rumah dia hampiri mahu menghubungi doktor yang dia kenal disini.

            Selesai berbicara dengan doktor itu, dia menoleh mahu masuk kembali dalam rumah. Tapi langkahnya mati bila nampak Ilya keluar mendekatinya. Fikri hadiahkan senyuman pada Ilya.

            “Mana awak tahu rumah saya disini?” Tanya Ilya. Cukup terkejut dirinya bila ada orang memberi salam tadi. Sesuatu yang tidak pernah dia alami sepanjang berpindah ke sini.

            “Kawan sekuliah awak yang kasi.”

            “Kenapa awak datang sini?” Soalan lain pula dia beri.

            “Sebab saya nak jumpa awak. Saya rindu nak rasa roti yang selalu awak buat.”

            “Awak boleh buat sendiri roti tu. Tak perlu tunggu saya.”

            “Tapi roti tu lagi sedap kalau awak yang buat.” Fikri tak nak kalah.

            “Fikri..” Panggil Ilya perlahan.

            “Huh?”

            “Terima kasih.” Senyum.

            Fikri tak faham untuk apa ucapan terima kasih tu. “Sebab?”

            “Sebab awak.. Awak dengan kedua orang tua awak orang pertama yang datang sini. Selama saya berpindah ke sini, tiada satu orang pun yang datang. Diaorang tak nak kawan dengan saya. Orang kampung pulau saya dengan umi.” Kolam mata Ilya dah panas.

            “Saya.. Saya tak faham.”

            Ilya senyum. Tak perlu untuk lelaki ini faham. “Jomlah masuk.”

*****

“Umi!”

            Fikri yang baru sahaja melintasi bilik Puan Imsyar segera menapak masuk dalam bilik itu selepas dengar jeritan Ilya dari dalam. Bila masuk, dia nampak wajah Ilya yang penuh dengan air mata. Terpinga-pinga sekejap.

            Puan Fakhira yang baru masuk terus menerpa Ilya dan Puan Imsyar yang terbaring. “Kenapa ni?” Soalnya kalut.

            Ilya angkat wajah. “Umi.. Umi..” Makin banyak air mata yang menghujani wajahnya.
            Puan Fakhira segera mendapatkan Puan Imsyar yang sudah pucat lesu wajahnya. Lengan Puan Imsyar dipegang. Sejuk. Kaki wanita itu juga dipegang. Juga sejuk. Hatinya sudah tidak tenteram. Lantas ditepuk pipi Puan Imsyar perlahan. “Akak!”

            Puan Imsyar tidak menyahut.

            “Akak!”

            Masih lagi sama. Puan Fakhira cari nadi di pergelangan tangan wanita itu. Tiada! Segera dia menggeleng. Innalillahiwainnailahirajiun. Dari Dia kita datang, kepada Dia kita dikembalikan.

            “Umi!”

*****

“Betul ni, Fik?”

            Fikri angguk. Dia pasti dengan keputusannya.

            “Kamu dah fikir masak-masak?”

            Fikri angguk lagi. “Dah, yah. Fik dah habis fikir dengan semua ni.Tapi.. Ibu dengan ayah akan bantu Fik, kan?”

            Puan Fakhira berpandangan dengan suaminya. “Ibu dengan ayah selalu ada dibelakang Fik. Fik buat sahaja, apa yang Fik rasa betul.”

            Fikri berjalan masuk bersama kedua orang tuanya. Dia berhenti dihadapan seseorang sebelum menoleh pandang Ilya dihujung sana. Wajah gadis itu seperti gadis yang tidak punya perasaan. Kosong. Tiada seri langsung.

            Dia mengeluh sebelum duduk. Lafaz basmallah disebut dalam hati sebelum tangan kanannya diangkat mahu berjabat tangan dengan seorang lelaki dihadapannya.

            “Aku terima nikahnya Ilya binti Imran dengan mas kahwinnya seribu seratus ringgit, tunai.” Jelas di pendengaran semua orang dalam masjid itu lafaz ijab qabul Fikri malam itu.

            Doa diaminkan.

            Ilya.. Saya tak janjikan kekayaan sepanjang kita membina masjid ini. Saya hanya janjikan sebuah kebahagiaan, kemanisan tulus lahir dari hati saya untuk awak.

            Pernikahan ini bukan bertujuan saya mahu membebankan awak. Tapi saya mahu awak bergembira dengan insan lain seperti saya selepas kehilangan umi awak. Saya mohon.. Mohon terima saya menjadi yang halal untuk awak. Selamanya..



P/s: Aku tak tahu kenapa pengakhirannya macam ni. Just read, and leave. Nak komen pon boleh. Thank you.

2 comments:

Pendapat anda sangat saya hargai