Pages

Search This Blog

8 Jan 2017

Mini Novel - Bayangan | Chapter 6

IKHWAN mencerlung memandang lelaki di hadapannya. Geram, benci, meluat, marah semua rasa itu bersatu dalam hatinya saat ini. Kalau bukan mengingatkan maruah lelaki ini, sudah lama wajah kacak itu ditumbuknya sehingga pecah.

            Tangan yang digenggam disembunyikan di bawah meja. Gigi diketap rapat. Kenapa mesti wujud lelaki seperti ini? Tidak punyakah rasa tanggungjawab dan kasihan dalam dirinya?

            “Ik..” Panggil lelaki itu lagi.

            “Jawapan aku tetap sama.” Dingin suaranya. Sedingin hatinya pada lelaki ini. Tidak guna memberi peluang kedua kalau peluang pertama sudah diranapnya teruk.

            “Ik, tolong aku.” Nada kasihan digunakan. Hanya Ikhwan sajalah yang bisa membantunya saat ini. Nak berjumpa Laila? Sumpah dia takkan lakukan itu. Mahu disula dirinya oleh Laila nanti.

            “Aku dah pernah tolong kau sebelum ni tapi, apa yang kau buat? Kau tak hargai langsung pertolongan aku.” Matanya masih statik pada lelaki itu. Menahan amarah yang mungkin akan terhambur bila-bila masa saja.

            Terlihat lelaki di hadapannya menunduk diam. Lantas sebuah senyuman sinis terukir di bibir Ikhwan. “Kenapa? Menyesal dengan apa yang pernah kau lakukan beberapa bulan lepas?” Tebaknya tepat mengena batang hidung lelaki itu.

            Biar. Biar dia rasa.

            Lelaki seperti ini sesekali harus diajar juga.

            Lelaki itu mengangkat kembali wajahnya. “Maafkan aku, Ik. Salah aku.” Jeda. “Aku ikut sangat apa yang mummy aku suruh.

            Ikhwan menghembus nafas perlahan. Mata dipejam seketika sebelum kembali dibuka. Entahlah. Dia rasa geram dan marah pada lelaki ini, dan pada masa sama dia rasa kasihan. Kasihan dengan hidup lelaki itu yang dikongkong.

            “Benda dah lepas, Fik.” Keluh Ikhwan perlahan. “Dia dah ada hidup dia sendiri.” Bibir dibasahkan. “Aku rasa, tak perlulah kau ganggu dia lagi.” Itu yang dia fikir terbaik untuk lelaki ini.

            “No, Ik. I still love her.” Tegas Fikri bersuara meyakinkan Ikhwan di hadapannya. “Aku datang berjumpa kau untuk betulkan kembali salah aku sebelum ni.” Liur ditelan. Wajah Ikhwan dipandang penuh sayu. “Tolong aku, Ik. Kau saja yang boleh tolong aku.

            Ikhwan terdiam. Lama dia berfikir baik dan buruk keputusan yang akan dilakukannya sebentar lagi. Lantas keluhan dilepaskan. “Apa jaminan yang kau takkan lukakan dia lagi kalau aku bantu kau?

            Giliran Fikri pula terdiam. Apa jaminan aku? “Aku.. aku..” Bibir digigit. Tidak berkelip matanya memandang Ikhwan. “Aku..

            Ikhwan menaikkan keningnya. Gagap? “Kau sendiri tak ada jaminan, bukan?” Senyum sinis. “Jadi macam mana aku boleh bantu kau kalau kau sendiri tak punya keyakinan tu?” Ikhwan diam sebelum menyambung, “Aku dah kenal kau lama, Fik. Aku, kau dan Fie berkawan dari sekolah. Kau ingatkan macam mana aku menentang pernikahan kau orang dulu? Ingat?

            “Inilah sebabnya kenapa aku tentang kau orang dari bernikah dulu. Sebab inilah. Sebab kau.. kau yang suka sangat ambil senang semua perkara. Tak pernah nak buat serius.

            “Sekarang kau fahamkan apa maksud aku dulu?” Panjang lebar Ikhwan mngklorok Fikri. Terdiam lelaki itu mendengar bebelan dari Ikhwan yang baginya ada kebenaran.

            Memang sewaktu dia memberitahu Ikhwan, mahu melamar Sofie menjadi isterinya, lelaki itulah yang menentang hebat rancangannya. Alasannya, mereka tidak sepadan. Tanpa dia tahu alasan yang sebenarnya.

            Kenapa baru kini Ikhwan memberitahu alasan yang sebenarnya? Kenapa baru sekarang, Ik?

            “Here you are...” Dan ayat seseorang itu termati sendiri saat mata menangkap wajah seseorang bersama suaminya. Mencerlung mata itu memandang lelaki di hadapannya yang sudah serba tidak kena. “Apa kau buat di sini?” Soal Laila geram.

            Dia kembali memandang suaminya. “Penat I tunggu you sorang-sorang dekat atas. Tak kasitahu I pun you jumpa lelaki ni.” Laila bersuara. Pelik bercampur hairan. Adakah dua lelaki ini sudah berjanji mahu berjumpa di sini? Tanpa pengetahuannya?

            “Duduk dulu, sayang.” Suruh Ikhwan sambil menarik keluar kerusi di sebelahnya.

           “Tak nak. I nak balik.” Tak mahu duduk satu meja dengan lelaki yang sudah menghancurkan hidup kawan baiknya.

            Ikhwan menghembuskan nafas beratnya. Matanya kembali memandang Fikri yang lagi memandang isterinya.

            “Duduk dulu, Lai.” Suruh Fikri pada wanita itu. Serasanya, inilah waktu yang dia punya untuk membetulkan segala kesalahannya.

            “Cakap aje.” Ucap Laila dingin tanpa memandang lelaki itu. Muak dengan lakonan yang diberi. Sudah menghancurkan hidup sahabatnya, masih boleh lagi bergembira?

            “Aku nak minta maaf.”

          “Bukan pada aku.” Balas Laila pantas. Lelaki itu tiada salah padanya. Tapi lelaki itu punya kesalahan yang besar pada Sofie. Kesalahan yang hanya dirasai kesakitannya oleh Sofie seorang.

            “Jadi boleh kau beritahu aku mana Fie supaya aku boleh minta maaf pada dia?

            Laila memandang Fikri. Dia mengeluh. Punggung pantas melabuhkan duduk di kerusi yang ditarik suaminya tadi. Orang tengah mengandungkan, fahamlah sikit. Aku bawa anak orang, bukannya anak daun.

            “Kau tahukan Fie dah tak nak tengok muka kau dah?

            Fikri mengeluh seraya mengangguk. Sofie tidak memberitahunya pun dia sudah mengetahui hakikat yang satu itu. Wanita mana yang sanggup memandang wajah lelaki yang sudah meninggalkannya?

            “Jadi buat apa kau nak jumpa dia?” Soalnya tidak berpuas hati. Apa masalah Fikri ini sebenarnya? “Aku rasa dia dah kuat tanpa kau sekarang. Dia dah boleh hidup tanpa lelaki bodoh macam kau.”

            “Lai!” Sedikit meninggi suara Fikri.

           “Apa?” Kening Laila ternaik. “Aku cakap perkara betul.” Dia meletakkan tangan di atas meja. “Mana kau saat dia jatuh dulu? Mana kau saat dia perlukan kau dulu? Mana?” Sambil mengetap gigi, Laila bersuara.

            “Kau tahu macam mana tersiksanya dia waktu kau tinggalkan dia? Kau tahu macam mana dia menangis setiap malam dan cakap pada diri sendiri yang ni semua mimpi? Kau tahu macam mana susahnya dia nak bangkit sampaikan dia terpaksa keluar dari Malaysia? Kau tahu? Tak, kan? Kau tak tahu, Fik.” Bergenang kolam mata Laila saat mengingatkan keadaan Sofie sebelum ini.

            Keadaan yang begitu menyukarkan dalam hidupnya. Keadaan yang begitu menyakitkan.

            “Aku.. aku minta maaf.” Fikri menunduk. Sedar khilafnya.

            “Kau patut minta maaf dari dulu, Fik. Dari dulu, bukan sekarang. Dah tak ada gunanya kau minta maaf sekarang. Fie dah tak ada. Dia dah tinggalkan kita. Dan itu semua, berpunca dari kau.

            “Kau yang mulakan segalanya. Kenapa kau berkahwin dengan Fie kalau tujuan kau hanya untuk ceraikan dia sebab perempuan lain? Kenapa?” Laila menghamburkan segala kemarahan di hatinya. Biar dilepaskan segala yang terpendam. Memang sudah lama rasa ini dibiar terkubur di hati.

            Dan dia tahu, inilah waktu dan ketikanya untuk dilepaskan.

            “Aku..

        “Apa? Sebab kau hormat mak kau sampaikan kau ikut segala arahan mak kau, huh? Kau sanggup tinggalkan Fie semata-mata sebab mak kau suruh kau ceraikan dia dan kahwin dengan perempuan lain?

            “Aku tak tahulah nak klasifikasikan kau sebagai apa tapi apa yang aku tahu, kau bodoh. Kau bodoh sebab sanggup ceraikan wanita yang kau cintai semata-mata untuk wanita yang kau hormati.

            “Aku tak cakap yang kau tak patut untuk ikut cakap mak kau tapi sekurangnya, kau perlu memahami hati isteri sendiri. Kau biarkan dia terluka dengan keputusan drastik kau yang tanpa berbincang dua mata tu. Kau terus buat kesimpulan dan keputusan yang aku rasa kau sangat bodoh sebagai seorang suami.

            “Sayang, dahlah tu.” Ikhwan bersuara. Kasihan melihat isterinya yang kelihatan penat. Penat shopping tadi tak hilang pun lagi sudah menghadap penat membebel pada Fikri. Tapi dia suka melihat wajah Fikri yang berubah itu.

            Biar lelaki itu punya kesedaran mengenai tanggungjawab. Lelaki itu tidak patut bermain dengan sesuatu yang bernama hati dan perasaan.

            “Kejap, I tak habis lagi dengan dia ni.” Laila membalas. Banyak hal yang perlu dia ucapkan pada Fikri.

            “Lai..” Fikri memandang Laila dan Ikhwan silih berganti. “Beritahu aku mana Fie. Aku akan betulkan semula salah aku pada dia. Aku nak rujuk dengan dia.

            Laila memandang suaminya. Masing-masing tergamam. Tidak tahu mahu berkeputusan bagaimana. Perlukah untuk mempercayai lelaki ini?

            Atau tidak?


PUNGGUNG dilabuhkan di sofa. Penat fizikal dan mental. Sesekali dia mengeluh. Keluhan yang sangat berat. Kenapa hidup aku perlu sebegini? Apa salah aku?

            Kepala didaratkan di penghadang sofa sebelum dipejam rapat. Satu demi satu memori selama hampir setahun itu seakan-akan berputar dalam fikirannya.

            Bagaimana perkenalan mereka. Bagaimana kisah percintaan mereka. Apa yang perlu mereka lalui sehingga mereka disatukan walau ramai pihak membangkang pernyatuan mereka. Kisah rumah tangga yang bahagia.

            Ya, mereka bahagia. Tanpa cela. Tapi disebabkan seseorang, segalanya musnah. Berkecai sehingga mereka terpisah. Jujur dia katakan, keputusan yang diambilnya sebelum ini, tanpa langsung ikhlas dari hatinya.

            Keputusan yang terpaksa. Kerana seorang ibu yang bergelar mummy. Ahh, mummy. Teganya kau melihat rumah tangga anakmu hancur retak sebegini? Kenapa sebegini busuk hatimu?

            “Bie..” Bahu yang disentuh bersama suara manja itu buatkan matanya terbuka. Figura wanita di sebelahnya dipandang jelik. Kerana perempuan inilah hidupnya begini. Kerana dia.

            “Apa kau nak?” Soalnya keras. Tidak selesa setiap kali mereka berduaan sebegini.

           “I nak you.” Dada lelaki itu menjadi tempat jari telunjuknya mendarat. Senyuman manis diukir sebaik mungkin.

            Jari yang mendarat di dada miliknya ditepis kasar. “Aku tak ada masa nak layan kau.” Dan dia bangkit. Kaki menghala ke anak tangga. Masuk bilik lagi bagus dari terus melihat lakonan busuk wanita itu.

            “Bie...” Suara nyaring itu langsung dihiraunya. Sabarlah Fik. Lagi lima bulan saja. Kemudian, hidup kau akan bebas tanpa wanita itu.


            Itu yang dia inginkan untuk tiga bulan ini. Bebas dari cengkaman wanita tadi dan juga.. mummynya.

No comments:

Post a Comment

Pendapat anda sangat saya hargai