"Setiap cerita yang dikarang di dalam blog ini adalah hak milik penulis. Sebarang ciplak adalah tidak dibenarkan. Terima kasih."

Search This Blog

Sunday, August 04, 2019

Cerpen - Bidadariku Sayang | Babak 1

First thing first, jangan terkeliru dengan flashback dan juga masa kini ya.

Legend:  K- Kini; F- Flashback



Baju melayu berwarna putih di tubuh dikemaskan. Dipadankan dengan seluar hitam. Wajah yang terbias di cermin ditatap lama. Senyuman manis diukir kemudiannya. Mata yang sedikit kemerahan buatkan sang bibir mengukir keluhan.
“Kau kuat, Dam.” Ayat itu sekali lagi diucap. Penumbuk yang digenggam bersama bibir yang digigit mematikan langsung rasa sebak yang mula menghuni.
Dadanya sesak.
Jiwanya rapuh.
“Kau boleh, Dam. Kau boleh!” Kepala mengangguk.
Hujung jari menyeka tubir mata yang membocor. Entah untuk kali keberapa buat empat malam yang lepas air mata tidak henti mengalir.
Nafas ditarik dalam sebaik mendengar pintu diketuk dari luar. Setelah menstabilkan diri, dia melangkah keluar. Pandangannya dijamah dengan sepasang mata yang turut sama terpamer kemerahan.
“Adik balik dulu, along. Esok tengahari adik datang lagi.”
Seolah memahami, si adik perempuan hanya memandang sayu bersama sebuah senyuman. Terus melangkah pergi bersama suami di sisi.
Tubuh kembali berpusing, memandang sekujur tubuh yang terbaring di hujung sana. Memori itu datang lagi.


(F)
PANTAS sekali mata kembali memandang buku di hadapan. Detak jantung yang berdegup rancak buatkannya menggeleng tanpa sedar. Wajah dipegunkan memandang halaman yang bertulis. Mata hanya berkelip tanpa membaca.
Fokusnya langsung hilang.
Tersentak saat bahu ditepuk. “Kau dah kenapa ni, Dam?” Suara teman di sebelah. “Apasal tiba-tiba kejung ni?”
Perlahan sekali kepala dipusing memandang. Pantas digeleng. Hujung mata memandang pemandangannya awal tadi. Liur ditelan saat seorang gadis yang lagi membaca itu tekun membaca isi ayat pada kertas yang berlipat.
Dijeling sesekali melihat reaksi. Sesekali bibirnya tersengih. Kadangkala mengukirkan senyuman. Dan senyuman itulah yang buatkan dia di sini turut sama tersenyum.
“Soalan aggregate income tu senang sangat ke sampai buat kau senyum?” Akmal di sisi menegur. Tak berkenan sungguh dia dengan perangai angau Adam sejak seminggu dua ni. Tahulah tengah mengorat seseorang.
“Senanglah. Mana ada susah. Kau aje yang bengap tak pandai-pandai. Aku dah ajar banyak kali dah, pun tak faham jugak.” Bidas Adam.
Akmal menjeling. Menyampah betul dengan perangai riak Adam ni. Tahulah budak pandai. Setiap semester dekan. “Tak baik tahu mengeluh. Ajar ilmu ni besar pahalanya.”
Adam mencebik. Bukannya dia mengeluh. Cuma tahap senang tangkap Akmal ni boleh kalah budak tadika.
Bunyi kerusi ditolak mematikan niat Adam mahu membalas. Nun di hujung sana, si gadis pujaannya sudah menggalas beg mahu keluar. Pantas jam dipergelangan tangan dilihat. 1.45 petang.
“Jomlah.” Ajaknya.
“Kau tulis apa dalam surat tu?” Akmal menyoal sewaktu mereka beriringan ke kelas.
Sebelah kening naik. “Kenapa kau nak tahu?”
“Lokek.”
Adam gelak. “Aku tulis..” Jeda. Bibirnya terjongket bila melihat Firas dan Taufiq juga memasang telinga. Nasiblah dia perasan awal gadis itu. Jika tidak, mahunya dikebas mereka bertiga. Bukan boleh percaya.
Adam kembali menyambung, “Jaga-jaga dengan Akmal, Firas dan Taufiq. Mereka buaya dalam U ni.” Sebelum dia berlari selamba meninggalkan ketiganya bersama jeliran lidah.
Tergelak dia spontan bila namanya dijerit.
Baris ayat yang tertera pada kertas yang ditulisnya tadi kembali terbayang di ruangan mata. “Saya suka awak.


“DAM.”
Adam menoleh. Seketika cuma sebelum mata kembali teralih pada permainan video di hadapan.
“Kau bukan ada nombor dia ke?”
“Nombor siapa?” Tengah berperang ni, otak tak boleh berhubung sangat.
“Ceit.” Akmal. “Girlfriend kaulah.”
Adam senyum. Girlfriend? Belum lagilah, Mal. “Soon to be, okay.
“Kenapa tak pm aje dia beritahu kau suka dia.” Tertanya juga Akmal, Adam dan perempuan yang dia ngorat tu, mereka pernah satu kumpulan untuk aktiviti kelab mereka. Kedua-duanya punya nombor masing-masing. Kenapa tak langsung saja beritahu? Ini sampai guna surat nak beritahu isi hati.
Tahulah jiwa klasik pun, tapi kalau pakai surat lambat tahu. Nanti orang yang dicintai dikebas orang, apa pun tak dapat.
“Dah pun.” Selamba Adam membalas.
Membulat mata Akmal. “Dia balas apa?”
“Mengoratlah sampai dia suka aku semula.” Tersengih Adam mengenang.
“Seriuslah, dia balas macam tu?”
Adam menggeleng. “Bukan dia yang balas.”
“Habistu?”
“Ayah dia.”
Sunyi. Seminit.


(K)
“ALONG.”
Adam menoleh. Mutiara jernih di hujung mata diseka. Tersenyum dia menyambung kehadiran si adik dan suami.
“Adik ada bawa makanan. Along makan eh.”
Menggeleng. “Along tak lapar.”
“Along janganlah macam ni. Nanti kalau along sakit, siapa nak jaga kak long?” Bahu Adam diusap.
“Biarlah kami pergi bersama.” Balas Adam sayu.
“Along..” Tak berkenan bila along asyik mengulang ayat yang sama.
“Apa lagi dik? Doktor juga yang cakap, keadaan kak long 50-50. Apa lagi?” Keluh Adam.
“Tapi doktor bukan tuhan, along.” Keras si adik.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, Aaira balik ajelah.”
Aaira mengeluh. Kalau along sudah memanggilnya dengan namanya, bukan lagi sebagai adik, maknanya along sangat tak suka. Sebaiknya dibiarkan along sendiri sebelum kemarahan itu dikeluarkan.
“Makanan ni jangan lupa makan.” Pesan Aaira sebelum menarik suaminya keluar.
Thats true love.” Ayat itu keluar dari bibir suaminya. Semenjak dia menjadi keluarga mereka, dia sangat mengagumi hubungan cinta abang dan kakak iparnya.
Aaira mengangguk sungguh. “Indeed.
Rumah tangga abang dan kakak iparnya seringkali dilanda badai, tapi hubungan mereka tetap utuh. Datanglah beribu kecaman dan tohmahan, mereka tetap setia bersama perisai yang gagah didirikan.
Perisai bernama cinta.


(F)
MATA terpejam rapat tika telinga mendengar kata-kata penuh sinis dan sindiran itu. Meski sindiran itu bukan dituju padanya, tetap memarakkan rasa panas dalam hati. Jiwanya membara. Menunggu masa diledakkan segala rasa amarah ini.
“Kau tak pergi cek doktor ke? Mana tahu ada tersumbat mana-mana.”
“Kita ni orang perempuan, sebagai isteri, malu tahu kalau dah lima tahun kahwin, tapi masih tak ada anak.”
“Aaira yang kahwin tahun lepas pun dah ada anak. Kau takkan tak ada isi lagi?”
“Keturunan aku tak pernah lagi mandul macam kau!”
Aaira mengetap gigi kuat. Sudah. Cukup. Dia tak sanggup lagi mendengar kata-kata kejam sebegitu buat kakak ipar kesayangannya.
“Mak long!” Bukan niatnya mahu meninggi suara, tapi kata-kata mak long sangat merobek hatinya. “Jaga sikit mulut, mak long.”
Dia yang mendengar pun sudah sakit hati, inikan kakak iparnya yang menghadap. Terluka.
“Aaira.” Teguran si ibu yang hanya dihiraukan.
Dipandang wanita yang berwajah bengis itu. Mak long. Tidak pasti selepas ini wanita itu layak dipanggil mak long olehnya. “Keturunan kita tak ada yang kejam macam ni.”
“Pergi naik atas, Aaira. Ini urusan mak long dengan perempuan ni. Kamu jangan masuk campur.” Keras.
“Perempuan ni kakak Aaira, mak long.” Wajah kakak ipar dipandang. Wanita itu hanya menunduk sejak dari dia tiba ke tempat kejadian. Tangan kakaknya yang menggigil itu, tahulah dia jiwa kakak kesayangannya sudah hancur.
Dibuka langkah mendekati kakak iparnya. Tangan yang menggigil itu dicapai sebelum digenggam erat. “Mak long sakitkan hati dia, sama macam mak long sakitkan hati Aaira.”
Sepi seketika.
“Aaira tak boleh terima apa yang mak long buat pada kak long Aaira.” Dia menggeleng yakin. Firm.
“Ibu pun..” Ibu dipandang. “Kenapa ibu tak halang? Kenapa ibu diam?”
Dia kecewa.
Lantas kakaknya ditarik mendaki anak tangga. Bilik kakaknya dituju. Lantas telefon yang semenjak tadi dalam genggaman dihidupkan. Dicari nombor along. Mengarah lelaki itu pulang secepat mungkin.
“Akak nak rehat sekejap.”
Aaira mengeluh. Sejak 10 minit mereka berdua, itulah ayat pertama yang ditutur kakak iparnya. Mendengar pada nada suara itu pun sudah dia faham isi hati kakaknya. Terluka. Kecewa. Hatinya patah.
“Kalau akak nak menangis, akak menangislah. Aaira ada di sini, tapi Aaira takkan dengar.” Bibir bawah digigit. Menunggu kepulangan along.
Bunyi esakan bernada perlahan itu cukup buatkan Aaira turut menangis. Pilu.
Hanya along saja yang kak long perlukan.
Hanya along saja yang boleh hentikan tangisan itu.
Hanya along.

To be continued...

Sampai sini dululah ya. Terima kasih.