"Setiap cerita yang dikarang di dalam blog ini adalah hak milik penulis. Sebarang ciplak adalah tidak dibenarkan. Terima kasih."

Search This Blog

Tuesday, May 19, 2015

Truth or Dare -16-




Fawwaz pandang seorang gadis yang berniqab dihadapannya. Dalam hati berbolak-balik. Nak dekat ataupun tidak? Tapi kalau tak dekat karang, dia juga yang kempunan. Sudahlah dah lama mereka tak berjumpa. Bila nak berjumpa masa macam ni, dia jadi segan pula tetiba.

            “Aku nak berubah. Jadi seorang wanita yang solehah.”

            Ayat tu, pernah Aireen beritahunya sebaik sahaja gadis itu tiba di Volgograd. Tapi dia tak sangka, gadis yang tengah berbual rancak dengan Nisa tu berubah sampai berniqab macam ni.

            “Fa..” Ilham tepuk bahu kawannya. Faham dengan situasi kawannya yang seorang ni. “Takut nak dekat, huh?” Tebak Ilham. Fawwaz sengih.

            “Jomlah.” Ilham senyum nakal. Dia bawa Fawwaz mendekati wanita berniqab itu yang tengah berbual dengan isterinya. Haha, macam tak percaya. Cepat betul mereka disatukan. Malam tadi, sah sudah ikatan mereka.

            “Hai..” Tegur Ilham. Dia kenyit mata pada Nisa.

            Nisa dan wanita berniqab tu menoleh. Wanita berniqab tu pantas tundukkan pandangan bila dia nampak lelaki bukan mahram dihadapannya. Sesekali dia hanya pandang wajah Nisa sahaja.

            “Kau nak berbual dengan dia ke?” Tanya Nisa pada Fawwaz. Faham sangat dengan pandangan Fawwaz ni. Nak melepas rindulah tu.

            Fawwaz angguk.

            “Berbuallah. Aku dengan Ilham ada kat sini. Tapi kitaorang takkan dengar. Kan biy?” Nisa senyum. Keadaan sekarang ni dah berubah. Wanita berniqab tu tak boleh berbual dengan lelaki yang bukan mahramnya berdua. Mesti kena ada peneman disebelahnya. Dan Nisa harap yang Fawwaz mengerti.

            Fawwaz lepas nafas. Susah dia nak bersuara kalau ada orang pasang telinga macam ni. Tapi cepat dia anggap yang Ilham dengan Nisa memang tak wujud. Anggap ajelah yang dua manusia tu pokok tepi jalan. Dia pandang wanita dihadapannya. “Hai,”

            Wanita itu membalas perlahan. Dia nak gelak walaupun dia tahu yang Fawwaz memang tak nampak kalau dia senyum. Okay Nisa.. Aku sambung lakonan dan permainan kau dengan suami kau tu.

            “Sihat?”

            “Alhamdulillah. Kalau tak sihat, tak adanya say.. ehem, aku datang sini.” Dia hembus nafas. Tersasul pula tersebut saya. Aih. Nasib cepat dia tukar.

            Fawwaz angguk. Dengar suara tanpa pandang wajah wanita yang dirinduinya ni pun dah buat dia rasa lega. Lepas juga rindu dia. “Datang sorang aje ke?” Fawwaz tanya lagi. Susah pula nak berbual macam biasa bila dah lama tak jumpa macam ni.

            Wanita tu angguk. Pantas dia gigit bibirnya lembut. Tipu sunat sudah. Dia ada datang dengan seseorang tadi. Kalau bukan sebab orang tu, tak adanya dia boleh sampai sini.

            Fawwaz dah rasa lain. Kenapa Aireen makin tak banyak cakap? Selalunya ada aje benda yang dia nak cakap. “Dah makan dah?”

            “Ni apsal slow motion aje kauorang berborak?” Dengar satu suara dari tepi. Fawwaz dan wanita tu menoleh. Ilham dan Nisa juga sama menoleh. Tersenyum geli hati pasangan suami isteri itu.

            Fawwaz kerut dahi. Dia tak faham. Apa ni? Dia pandang wanita berniqab dihadapannya dan juga gadis disebelah wanita tu. Nampak gadis berbaju kurung peplum tu memeluk Nisa. “Sorry tak dapat datang malam tadi.” Suara tu kedengaran lagi.

            “Sokaylah. Asal kau datang tunjuk muka pun dah buat aku lega.” Tangan Nisa dengan Aireen masih lagi terpaut erat.

            Aireen pandang Ilham yang tersenyum padanya. “Selamat pengantin baru. Jaga kawan aku ni baik-baik. Kau buat naya kat dia, memang terus aku sula kau.” Tegas dan keras nada Aireen. Nak bagi amaran pada Ilham walaupun dia dah lebih dari yakin yang Ilham takkan buat macam tu pada Nisa.

            Ilham letak dua jarinya di dahi. “Ai ai kapten!”

            Aireen pandang pula wanita berniqab dihadapannya dan juga lelaki disebelah Ilham tu. Lama pandangannya sebelum jatuh pada cincin dijari manis lelaki tu. Dia angguk bila dapat sesuatu. Lantas sebuah senyuman dihadiakan pada lelaki tu.

            “Cop cop! Aku tak fahamlah.” Fawwaz garu kepalanya. Wanita berniqab dihadapannya dan wajah Aireen dipandang silih berganti. Kalau yang ni Aireen, wanita berniqab tu siapa? Kenapa suara diaorang sama? Serupa. Tinggi pun sama.

            “Macam mana?”

            Wanita berniqab tu peluk bahu Aireen. Lantas dia berbisik, “Dia okay, cuma..”

            “Cuma?” Hati Aireen dah rasa lain macam. Dia tak setuju dengan pilihan hati akukah?

            “Bila nak satu?”

            Aireen senyum. Ingatkan apalah tadi. “Insya-Allah dalam masa terdekat ni.”


AIREEN gelak lagi. Dia pandang wajah masam mencerut Fawwaz kat sebelahnya. Lepas beritahu siapa wanita berniqab tadi, terus dia nampak pipi Fawwaz dah memerah. Malu mungkin.

            “Nasib aku tak cakap ayat melalut kat dia tadi. Huh.” Air ribena dalam cawan disisip. Nak hilangkan dahaga kat tekak. Jadi pengapit Ilham memang memenatkan. Kena senyum aje sepanjang hari. Dia yang payah nak senyum ni pun dipaksanya senyum.

            “Tapi kau nampak cantik sekarang.” Ucap Fawwaz ikhlas sambil tunjuk pada selendang yang membelit kepala Aireen.

            Aireen angguk. “Thanks,” Perlahan ucapan terima kasihnya pada Fawwaz. Ya, inilah perubahan baru dalam hidupnya. Nak jadi wanita solehah.

            “Aku ingatkan perubahan yang kau cakap sebelum ni, pakai niqab bagai. Itu yang aku terus assume yang Alang tadi tu kau. Iyelah, dah Alang nampak rapat gila dengan Nisa. Dah macam kau dengan Nisa pula.” Cerita Fawwaz. Nasib baiklah tadi dia tak cakap ucapan rindu ke haper pada Alang Aireen ni. Kalau tak, memang kena bahan ajelah dia dengan Ilham. Aish.

            Aireen senyum. Selain dirinya, kakaknya juga agak rapat dengan Nisa. Tapi tak adalah akrab macam Aireen dengan Nisa. “Oh ya.. Mama dengan Ayah, kirim salam.” Lupa pula Aireen nak sampaikan salam Mama dengan Ayahnya pada Fawwaz. “Diaorang cakap lagi, kalau ada masa jemputlah datang rumah.” Pesan Mama juga diberitahunya.

            Fawwaz angguk. Dia segan sebenarnya nak bertandang setiap hari ke rumah Aireen. Belum ada ikatan yang sah dah datang bertandang. Nanti apa pula kata jiran-jiran Aireen.

            “Kau sampai sini pukul berapa semalam?” Tanya Fawwaz. Matanya leka pandang Aireen yang tengah menyudu bubur disebelahnya.

            Aireen mendongak sekejap. Cara dia bila dia nak ingat sesuatu benda. “Dalam pukul satu pagi macam tu.” Balasnya. Memang dia sampai Malaysia malam tadi dalam pukul satu pagi. Tak sempat dah nak datang ke majlis akad nikah Ilham dengan Nisa yang dijalankan lepas Isyak.

            “Siapa ambil?”

            “Zikri.” Balas Aireen menyebut satu nama. “Adik saudara akulah.” Aireen menyambung dalam nada yang menjengkelkan bila nampak wajah Fawwaz dah berubah. Dah kalau telinga tu bergerak-gerak memang adalah tu yang dia tak puas hati.

            Nampak Fawwaz senyum. Aireen pula menggeleng kepala. Jam yang dililit dipergelangan tangan diselak. Dah pukul lima petang. Nampak di bawah khemah besar tu, pasangan pengantin yang tengah bersalaman dengan sanak saudara mereka. Keluarga Ilham nak balik dah ke?

            “Berapa lafaz malam tadi?” Tanya Aireen. Rugi betul dia tak dapat turut serta semalam. Aish, ni semua salah Alonglah. Boleh pula terbeli tiket penerbangan semalam. Dah disuruh beli tiket dua hari sebelumnya.

            Fawwaz seluk tangannya dalam poket baju melayunya. Telefon miliknya dikeluarkan. Entah dia tekan apa, lepastu dia serahkan telefonnya pada Aireen. “Tengoklah.” Dia senyum.

            Aireen tengok video yang dirakam lelaki ni. Majlis akad nikah malam tadilah. Bibirnya automatik senyum. Tak dapat tengok live, tengok rakaman pun jadilah.

            Aireen rasa bersalah bila tengok video tu. Nampak dalam video tu, disisi Nisa semalam kosong. Sepatutnya, tempat kosong itulah tempatnya duduk. Tapi nak buat macam mana. Dia memang jauh beribu batu nak sampai sana secepat yang mungkin. Tapi bila nampak wajah ceria Nisa dengan Ilham dalam video tu, dia tersenyum. Aku akan bahagia kalau kawan baik aku bahagia. Semoga berbahagia sampai jannah ye kawan.

            “Ni dekat masjid, kan?” Tanya Aireen.

            Fawwaz angguk. Tak dapat nak bersuara sebab mulutnya penuh dengan kerepek. Masa-masa macam ni ajelah nak makan banyak. Tambah pula dapat makan percuma. Seronok weh.

            “Ruginya tak dapat datang.” Keluh Aireen. Dia tengok pula video yang lain. Video masa mereka bercuti di Pulau Perhentian dulu pun ada juga.

            Berkerut-kerut dahi Aireen bila video seterusnya dimainkan. Dia pandang Fawwaz sambil tersenyum. “Kau pun rakam video ni juga?” Tanyanya sambil tunjuk pada video saat Mummy Fawwaz, Puan Raudhah menyarungkan cincin pertunangan di jari manisnya tiga minggu lepas.

            “Mestilah. Kenangan tu.” Fawwaz gelak. Tak sangka, rengekannya pada Mummynya haritu membuahkan hasil apabila dia juga turut sama menghadiri majlis pertunangannya. Selalunya, orang lelaki yang ditunangkan tak boleh datang sekali tapi dia.. Lantaklah. Majlis dia. Dia siap buat muka selamba lagi, siap sempat rakam video lagi sepanjang majlis tu berjalan. Aireen yang pandangnya pelik pun dia buat tak peduli.

            Dan tak sangka juga, tiga hari sebelum Aireen dengan keluarganya bertolak ke Volgograd untuk bawa pulang Alangnya, mereka sempat ditunangkan. Ingat lagi Fawwaz macam mana beraninya dia berjumpa dengan ayah dan mama Aireen untuk nyatakan hasratnya. Tersenyum lebar bibirnya bila hasratnya itu dipersetujui orang tua gadisnya. Yeah, walaupun banyak gila soalan dan pertanyaan dari abang-abang Aireen.

            Sampai aje rumah petang tu, barulah dia beritahu keluarganya mengenai hal itu. Dia bersyukur sebab kedua orang tuanya tak memilih soal ini.

            “Macam mana?”

            Fawwaz tersentak. Dia pandang Aireen. Perlahan sebelah keningnya dijongketkan. “Apa dia?”

            Aireen muncung. Lelaki ni pekak ke apa? Jadi tadi aku cerita sensorang lah? Syok sendiri, macam tu? “Berangan sampai mana?” Dalam sebal, dia menyoal.

            Fawwaz gosok tengkuknya sambil tersengih kelat. “Sorry,”

            Aireen menggeleng. Dia buka mulut nak ulang balik apa yang dia cakapkan tadi seorang diri tu. Tapi tak sempat nak sudahkan ayatnya, datang Ilham dengan Nisa ke arah mereka. Tersenyum-senyum dua mempelai tu pandang mereka berdua.

            “Kitaorang dah lepas. Kauorang punya nasi minyak, bila pula?” Selamba aje Ilham menyoal. Siap dengan tersengih-sengih dia tu.

            Aireen julingkan matanya. “Aku baru ingat nak tunggu kauorang ada anak baru kauorang rasa nasi minyak kitaorang.” Dia jeling Fawwaz kat sebelah. Nampak Fawwaz angguk sama.

            Ilham muncung pula. “Kitaorang nak honeymoon dululah.” Dia cekak pinggang. Orang nak berkasih sayang dulu kot baru buat anak banyak-banyak.

            Dari bubur, kini dia beralih pula pada bihun sup. Nak balun cukup-cukup sebab dekat Rusia tak jumpa makanan macam ni. Gelengan dari Fawwaz dia tak peduli. Apa yang dia tahu, dia nak makan. Memang susah betullah kalau aku belajar luar negara. Mahu seminggu sekali balik Malaysia sebab nak makan makanan Malaysia.

            “Malam ni kau datang tak?” Tanya Nisa pada Aireen. Tolonglah datang Reen. Dah lah semalam kau tak ada.

            Aireen pandang Nisa yang ambil tempat dihadapannya. Stiletto warna merah darah yang dipakai Nisa tadi dah bertukar dengan selipar warna merah hitamnya. Nisa ni memang suka warna merah. Katanya, merah tu cinta. Hari-hari dia nak hidupnya dihujani dengan rasa cinta yang mekar dalam diri. Uhuks, itulah ayat Nisa pada dia dulu. Tengoklah bila budak enjin bermadah. Memang tergamam terus sesiapa yang mendengar. Termasuklah Aireen sekali.

            “Malam ni ada apa?” Keningnya dimain-mainkan. Takkan malam pengantin pun Nisa nak suruh dia teman? Hahaa. Kalau yang tu, memang Aireen rasa nak gelak.

            “Ilham nak buat makan-makan,”

            Aireen menimbang sekejap. Dia baru ingat malam ni nak tidur awal sebab dia tersangatlah penatnya. Tapi.. “Tengoklah. Aku tanya Mama aku dulu.” Aireen senyum. “Pukul berapa?”

            “Hmm..” Nisa pandang Ilham disebelahnya yang tengah berborak dengan Fawwaz dan Johan. Dia cuit bahu Ilham. Lepas berbual beberapa minit, Nisa kembali pandang Aireen. “Lepas Isyak, macam tu.”

            Aireen angguk. Dia kesat hujung bibir dengan hujung jari. “Aku jumpa Hakim tadi.” Cerita Aireen. Terkejut juga dia bila tiba-tiba nak masuk rumah Nisa, Hakim datang tarik dia bawa berjumpa.

            “Dekat mana?”

            “Depan rumah kau ni aje.”

            “Dia datang? Kenapa dia tak jumpa kitaorang?”

            Aireen angguk. “Yang tu, aku tak tahu. Tapi dia ada minta maaf kat aku.”

            “Minta maaf? Kenapa pula?”

            “Kau ingat lagi tak masa dia tiba-tiba serang aku lepas aku tolak rombongan dia tu?” Nisa angguk. “Pasal tu lah dia datang minta maaf. Dia cakap, dia memang dah lama suka aku. Cuma tak ada keberanian nak luahkan aje.” Plus, Hakim ada cakap yang ada salah seorang dari kawan lelaki dia turut sama simpan perasaan pada Aireen. Tambah Aireen dalam hati.

            “Then, kau cakap apa kat dia?”

            “Aku maafkan dia.” Senyum.

            Mata Nisa membulat tak percaya. “Sesenang macam tu aje?” Aireen angguk. Buat apa nak simpan rasa marah lama-lama pada orang lain? “Kau pun tahukan yang aku ni jenis tak suka simpan dendam? Lagipun, dia just serang aku dengan mulut aje. Tak ada pun dia panggil orang suruh buat naya kat aku. Kira okay lagilah tu.”

            “Dia ada cakap lagi..” Aireen sedut air dalam cawan. “Dia nak pergi jauh. Jauh dekat mana tu, dia tak ada pula kasitahu aku. And dia cakap lagi, kalau ada jodoh, dan tiba saatnya nanti, dia akan datang balik kat kita.”

            Nisa angguk beberapa kali. Susah betul nak percaya kalau ayat yang macam tu keluar dari bibir Hakim. Tapi bila ayat tu semua disampaikan oleh Aireen, hatinya mula berbelah bahagi. Mungkinkah Aireen hanya mereka-reka aje? Tapi dia kenal Aireen. Aireen takkan tipu dia macam tu.

No comments:

Post a Comment

Buah fikiran anda amatlah di hargai.