Baju melayu berwarna
putih di tubuh dikemaskan. Dipadankan dengan seluar hitam. Wajah yang terbias
di cermin ditatap lama. Senyuman manis diukir kemudiannya. Mata yang sedikit
kemerahan buatkan sang bibir mengukir keluhan.
“Kau kuat,
Dam.” Ayat itu sekali lagi diucap. Penumbuk yang digenggam bersama bibir yang
digigit mematikan langsung rasa sebak yang mula menghuni.
Dadanya
sesak.
Jiwanya
rapuh.
“Kau
boleh, Dam. Kau boleh!” Kepala mengangguk.
Hujung
jari menyeka tubir mata yang membocor. Entah untuk kali keberapa buat empat
malam yang lepas air mata tidak henti mengalir.
Nafas
ditarik dalam sebaik mendengar pintu diketuk dari luar. Setelah menstabilkan
diri, dia melangkah keluar. Pandangannya dijamah dengan sepasang mata yang
turut sama terpamer kemerahan.
“Adik
balik dulu, along. Esok tengahari adik datang lagi.”
Seolah
memahami, si adik perempuan hanya memandang sayu bersama sebuah senyuman. Terus
melangkah pergi bersama suami di sisi.
Tubuh kembali berpusing, memandang sekujur tubuh yang terbaring di hujung sana. Memori itu datang lagi.
-----------
PANTAS sekali mata kembali
memandang buku di hadapan. Detak jantung yang berdegup rancak buatkannya
menggeleng tanpa sedar. Wajah dipegunkan memandang halaman yang bertulis. Mata
hanya berkelip tanpa membaca.
Fokusnya
langsung hilang.
Tersentak
saat bahu ditepuk. “Kau dah kenapa ni, Dam?” Suara teman di sebelah. “Apasal
tiba-tiba kejung ni?”
Perlahan
sekali kepala dipusing memandang. Pantas digeleng. Hujung mata memandang
pemandangannya awal tadi. Liur ditelan saat seorang gadis yang lagi membaca itu
tekun membaca isi ayat pada kertas yang berlipat.
Dijeling
sesekali melihat reaksi. Sesekali bibirnya tersengih. Kadangkala mengukirkan
senyuman. Dan senyuman itulah yang buatkan dia di sini turut sama tersenyum.
“Soalan aggregate income tu senang sangat ke
sampai buat kau senyum?” Akmal di sisi menegur. Tak berkenan sungguh dia dengan
perangai angau Adam sejak seminggu dua ni. Tahulah tengah mengorat seseorang.
“Senanglah.
Mana ada susah. Kau aje yang bengap tak pandai-pandai. Aku dah ajar banyak kali
dah, pun tak faham jugak.” Bidas Adam.
Akmal
menjeling. Menyampah betul dengan perangai riak Adam ni. Tahulah budak pandai.
Setiap semester dekan. “Tak baik tahu mengeluh. Ajar ilmu ni besar pahalanya.”
Adam
mencebik. Bukannya dia mengeluh. Cuma tahap senang tangkap Akmal ni boleh kalah
budak tadika.
Bunyi
kerusi ditolak mematikan niat Adam mahu membalas. Nun di hujung sana, si gadis
pujaannya sudah menggalas beg mahu keluar. Pantas jam dipergelangan tangan
dilihat. 1.45 petang.
“Jomlah.”
Ajaknya.
“Kau tulis
apa dalam surat tu?” Akmal menyoal sewaktu mereka beriringan ke kelas.
Sebelah
kening naik. “Kenapa kau nak tahu?”
“Lokek.”
Adam
gelak. “Aku tulis..” Jeda. Bibirnya terjongket bila melihat Firas dan Taufiq
juga memasang telinga. Nasiblah dia perasan awal gadis itu. Jika tidak, mahunya
dikebas mereka bertiga. Bukan boleh percaya.
Adam
kembali menyambung, “Jaga-jaga dengan Akmal, Firas dan Taufiq. Mereka buaya
dalam U ni.” Sebelum dia berlari selamba meninggalkan ketiganya bersama jeliran
lidah.
Tergelak
dia spontan bila namanya dijerit.
Baris ayat
yang tertera pada kertas yang ditulisnya tadi kembali terbayang di ruangan
mata. “Saya suka awak.”
“DAM.”
Adam
menoleh. Seketika cuma sebelum mata kembali teralih pada permainan video di
hadapan.
“Kau bukan
ada nombor dia ke?”
“Nombor
siapa?” Tengah berperang ni, otak tak boleh berhubung sangat.
“Ceit.”
Akmal. “Girlfriend kaulah.”
Adam
senyum. Girlfriend? Belum lagilah,
Mal. “Soon to be, okay.”
“Kenapa
tak WhatsApp aje dia beritahu kau suka dia.” Tertanya juga Akmal, Adam dan
perempuan yang dia ngorat tu, mereka pernah satu kumpulan untuk aktiviti kelab
mereka. Kedua-duanya punya nombor masing-masing. Kenapa tak langsung saja
beritahu? Ini sampai guna surat nak beritahu isi hati.
Tahulah
jiwa klasik pun, tapi kalau pakai surat lambat tahu. Nanti orang yang dicintai
dikebas orang, apa pun tak dapat.
“Dah pun.”
Selamba Adam membalas.
Membulat
mata Akmal. “Dia balas apa?”
“Mengoratlah
sampai dia suka aku semula.” Tersengih Adam mengenang.
“Seriuslah,
dia balas macam tu?”
Adam
menggeleng. “Bukan dia yang balas.”
“Habistu?”
“Ayah
dia.”
Sunyi.
Seminit.
Berkerut
dahi Akmal mendengar. Ye ye je si Adam ni.
“ALONG.”
Adam
menoleh. Mutiara jernih di hujung mata diseka. Tersenyum dia menyambut
kehadiran si adik dan suami.
“Adik ada
bawa makanan. Along makan eh.”
Menggeleng.
“Along tak lapar.”
“Along
janganlah macam ni. Nanti kalau along sakit, siapa nak jaga kak long?” Bahu
Adam diusap.
“Biarlah
kami pergi bersama.” Balas Adam sayu.
“Along..”
Tak berkenan bila along asyik mengulang ayat yang sama.
“Apa lagi
dik? Doktor juga yang cakap, keadaan kak long 50-50. Apa lagi?” Keluh Adam.
Penat. Sungguh, dia penat.
“Tapi
doktor bukan tuhan, along.” Keras si adik.
“Kalau tak
ada apa-apa lagi, Aaira balik ajelah.”
Aaira
mengeluh. Kalau along sudah memanggilnya dengan nama, bukan lagi sebagai adik,
maknanya along sangat tak suka. Sebaiknya dibiarkan along sendiri sebelum kemarahan
itu tercetus.
“Makanan
ni jangan lupa makan.” Pesan Aaira sebelum menarik suaminya keluar.
“That’s
true love.” Ayat itu keluar dari bibir suaminya. Semenjak dia menjadi
keluarga mereka, dia sangat mengagumi hubungan cinta abang dan kakak iparnya.
Aaira
mengangguk sungguh. “Indeed.”
Rumah
tangga abang dan kakak iparnya seringkali dilanda badai, tapi hubungan mereka
tetap utuh. Datanglah beribu kecaman dan tohmahan, mereka tetap setia bersama
perisai yang gagah didirikan.
Perisai
bernama cinta.
MATA terpejam rapat tika telinga mendengar
kata-kata penuh sinis dan sindiran itu. Meski sindiran itu bukan dituju
padanya, tetap memarakkan rasa panas dalam hati. Jiwanya membara. Menunggu masa
diledakkan segala rasa amarah ini.
“Kau tak
pergi cek doktor ke? Mana tahu ada tersumbat mana-mana.”
“Kita ni
orang perempuan, sebagai isteri, malu tahu kalau dah lima tahun kahwin, tapi
masih tak ada anak.”
“Aaira
yang kahwin tahun lepas pun dah ada anak. Kau takkan tak ada isi lagi?”
“Keturunan
aku tak pernah lagi mandul macam kau!”
Aaira
mengetap gigi kuat. Sudah. Cukup. Dia tak sanggup lagi mendengar kata-kata
kejam sebegitu buat kakak ipar kesayangannya.
“Mak
long!” Bukan niatnya mahu meninggi suara, tapi kata-kata mak long sangat
merobek hatinya. “Jaga sikit mulut, mak long.”
Dia yang
mendengar pun sudah sakit hati, inikan kakak iparnya yang menghadap. Pasti terluka.
“Aaira.”
Teguran si ibu yang hanya dihiraukan.
Dipandang
wanita yang berwajah bengis itu. Mak long. Tidak pasti selepas ini wanita itu
layak dipanggil mak long olehnya. “Keturunan kita tak ada yang kejam macam ni.”
“Pergi
naik atas, Aaira. Ini urusan mak long dengan perempuan ni. Kamu jangan masuk
campur.” Keras.
“Perempuan
ni kakak Aaira, mak long.” Wajah kakak ipar dipandang. Wanita itu hanya
menunduk sejak dari dia tiba ke tempat kejadian. Tangan kakaknya yang menggigil
itu, tahulah dia jiwa kakak kesayangannya sudah hancur.
Dibuka
langkah mendekati kakak iparnya. Tangan yang menggigil itu dicapai sebelum
digenggam erat. “Mak long sakitkan hati dia, sama macam mak long sakitkan hati
Aaira.”
Sepi
seketika.
“Aaira tak
boleh terima apa yang mak long buat pada kak long Aaira.” Dia menggeleng yakin.
Firm.
“Ibu
pun..” Ibu dipandang. “Kenapa ibu tak halang? Kenapa ibu diam?”
Dia
kecewa.
Lantas
kakaknya ditarik mendaki anak tangga. Bilik kakaknya dituju. Lantas telefon
yang semenjak tadi dalam genggaman dihidupkan. Dicari nombor along. Mengarah
lelaki itu pulang secepat mungkin.
“Akak nak
rehat sekejap.”
Aaira
mengeluh. Sejak 10 minit mereka berdua, itulah ayat pertama yang ditutur kakak
iparnya. Mendengar pada nada suara itu pun sudah dia faham isi hati kakaknya.
Terluka. Kecewa. Hatinya patah.
“Kalau
akak nak menangis, akak menangislah. Aaira ada di sini, tapi Aaira takkan
dengar.” Bibir bawah digigit. Menunggu kepulangan along.
Bunyi
esakan bernada perlahan itu cukup buatkan Aaira turut menangis. Pilu.
Hanya
along saja yang kak long perlukan.
Hanya
along saja yang boleh hentikan tangisan itu.
Hanya
along.
ADAM terdiam sebaik mendengar cerita Aaira. Bibir
bawahnya digigit kuat. Kolam mata yang bergenang buatkan hatinya sebak.
Pandangannya jatuh pula pada si bidadari yang tertidur di sisi. Jelas kesan air
mata pada bantal itu, tanda ia masih baru.
20 minit.
Hanya 20
minit dia keluar ke kedai membeli barang, untuk pulang menyaksikan si isteri
diperlakukan sebegini. Jarak waktu yang sangat singkat untuk dicapai dek akal.
“Aaira
keluar dulu.”
Menitis
air mata sebaik bunyi pintu ditutup. Rambut si isteri yang menutup sebahagian
mata diselit belakang telinga. Diusap kepala isteri tersayang.
“Susahkan
jadi isteri abang?” Bisiknya perlahan.
Pipi
isteri pula diusap. “Abang minta maaf. Isteri abang tak patut kena macam ni.”
Bisiknya lagi.
“Abang
minta maaf, sayang.” Dahi si isteri dikucup.
DADA yang tenang bernafas itu dipandang sebelum
pandangannya jatuh pada wajah yang lagi lena tertidur. Wajah yang dirindui.
Wajah yang sanggup berpenat untuknya tanpa mengeluh sikit pun.
Tangan
yang bercucuk branula dicapai. Digenggam lembut tidak mahu menyakiti. Tiada
refleksi. Tiada tindakbalas seperti selalunya.
Mengeluh bersama
rasa sebak di dada.
“Macam
mana..” Terhenti. “Macam mana isteri abang boleh kuat hadapi semua ni? How you endure all of this shit, sayang?” Lagi. “Abang..” Mengeluh.
“Abang tak kuat.” Gigi diketap. “Abang tak kuat tanpa isteri tersayang abang.”
Dahi
diletak pada lengan si isteri yang masih lagi belum terjaga. “I need you. Abang perlukan sayang
abang.” Hidung disedut. “Bangun untuk abang, please?”
“I need you.”
“I need you.”
-----------
SEKITARNYA dipandang. Menggeleng
kesal Adam bila telinga didendangkan dengan mulut murai dari dapur. Langsung
hilang dahaganya sejak tadi. Mujur isterinya lagi keluar bersama Aaira melihat
sekitar kampung. Jika tidak, pasti terluka lagi hati isterinya. Semenjak mereka
pulang ke kampung neneknya sejak tiga hari lepas, sejak itu hati isterinya
terluka.
“Apa ni,
mak long?” Keras suaranya sebaik kaki dibawa melangkah menuruni tangga dapur.
Dia kesal dengan sikap mak longnya.
“Hah,
eloklah kamu dengar.” Mak long terus tersenyum melihat anak lelaki adiknya.
“Aku dah bincang dengan ibu kamu, ibu kamu pun setuju. Kami nak nikahkan kamu
dengan Farah.”
“Aku tak
kata apa pun, long.” Balas ibu. Menggeleng ibu memandang Adam.
“Adam tak
nak.” Tegas. “Adam dah ada isteri. Kenapa nak kena kahwin lagi?” Soalnya
bersama gigi yang diketap. Api marahnya mula meledak.
“Isteri
apa macam tu? Mana ada isteri yang tak boleh beri suami dia keturunan?” Kuat
suara mak long menyoal. “Aku dari dulu tak berkenan dengan dia. Aku lagi suka
kamu dengan Farah. Entah apa ada pada perempuan mandul tu sampai kamu
tergila-gilakan dia.”
“Jijah!”
Terpejam
mata Adam mendengar suara pekikan itu. Hampir saja dia mengherdik mak long tadi
jika tiada suara yang terlebih dahulu melengking kuat.
“Jaga
sikit mulut kamu. Aku tak pernah ajar keturunan aku berbahasa macam tu!” Suara
Tok Ma, nenek Adam yang kuat itu menggamit perhatian manusia yang lagi
mengambil angin di luar rumah.
“Kenapa
ni?” Adam menoleh saat suara isterinya yang bertanya menyapa telinga. Pantas
dia menggeleng. Terus tangan si isteri digenggam.
“Betullah
apa yang Jijah cakap ni mak. Entah-entah perempuan mandul tu dah sihirkan si
Adam ni sampai tergilakan dia.” Mak long masih mempertahankan dirinya. Sejak
dulu lagi dia tak berkenan. Dia lagi suka kalau Farah, anak perempuannya yang
menikah dengan Adam.
“Ohhh..”
Seperti satu keluhan yang dilepaskan isterinya menggamit pandangannya. Mata
mereka bertatapan sebaik dia menoleh. Tertahan nafas Adam melihat pandangan
isterinya.
Pandangan
terluka.
“Pasal
saya kan?” Si isteri tersenyum tawar. Sakitnya hati ini, tuhan. “Kenapa saya famous sangat dekat kampung abang ni?
Mana-mana pun orang bertanya pasal saya. Ceruk mana pun orang kenal saya.”
“Sayang..”
Mati kata.
“Kamu
bercakap macam tak belajar dari pengalaman, kan? Kamu tu.. berapa tahun kamu
tunggu baru dapat Farah? 18 tahun? Hah?” Suara Tok Ma lagi. Buatkan mak long
terdiam dan menunduk.
“Jalan
hidup kamu dengan Naaz sama aje. Masing-masing diuji dengan masa. Cepat atau
lambat aje. Allah tak bagi bukan sebab Dia tak sayang. Sebab Dia nak dengar
suara kita merayu pada Dia.” Kembali perlahan suara Tok Ma.
Dari dulu
lagi dia cukup tak berkenan dengan sikap anak sulungnya yang ini. Suka sangat
membandingkan orang lain. Makin teruk perangainya bila Adam menolak lamaran
Farah. Makin haru sifatnya bila Adam bernikah dengan Naaz.
Bahu si
isteri yang kendur ke bawah dipeluk ketat. Berharap apa yang dikata Tok Ma tadi
memberi sedikit sebanyak kelegaan dan kesenangan pada hati isterinya.
“Kita
hanya perlukan masa, sayang.” Ucapnya berbisik. Sempat sebuah kucupan singgah
di dahi si isteri.
MUNDAR-MANDIR dia berjalan. Risau.
Takut. Semua perasaan bercampur baur. Tangan yang menggenggam antara satu sama
lain tanda dia lagi keresahan. Pintu yang masih lagi tertutup buatkan dia
berdebar hebat.
“Lama lagi
ke, yang?”
Pintu
terbuka. Terpampang wajah isterinya bersama riak kosong. Jangan kata...
“Macam mana?” Soalnya dalam gementar.
Naaz
langsung menghulurkan alat di tangan pada suaminya. “Tengoklah sendiri.” Ujarnya.
Matanya
hanya memerhati tingkah suaminya yang terus melihat alat yang diserahkan tadi.
Sebaik melihat, pandangan mereka kembali bersatu. Huh?
“How.. do.. I.. react?” Soalnya tersekat.
Dia seolah bingung dengan apa yang berlaku sekarang ni.
Lima saat..
sebelum terasa tubuhnya melayang. Dan terdengar suara jeritan suaminya.
“We are gonna be a parent. Yahoo!”
Alhamdulillah,
ya Allah. Segala puji hanya bagi-Mu.
TANGAN hangat itu erat
menggenggam tangannya yang kedinginan. Keluhannya dibalas dengan senyuman
manis. Senyuman yang buatkan dia terpikat.
“We did it, sayang. Why with the fear?”
Soal Adam lembut. Sejak tadi dia melihat si isteri yang sedaya upaya cuba
mengelak dari bertembung dengan mak long.
Jika tidak
kerana ini rumah keluarganya, jika tidak ini majlis untuk adiknya, pasti dia
takkan membawa isterinya ke sini.
Kata-kata mak
long selama ini kepada isterinya sangat memberi kesan yang mendalam. Sembilan tahun..
sembilan tahun isterinya terpaksa menelan semua kata-kata yang dilemparkan.
Macam mana
awak boleh sekuat ini, sayangku?
TELEFON yang
bergetar di jawab. Panggilan dari Aaira, adik iparnya. Wanita itu meminta
bantuannya untuk menjemputnya di tempat kerja petang nanti ekoran suaminya yang
berada di luar kawasan. Dengan senang hati dia bersetuju.
Seperti yang
dijanjikan, Aaira sudah di lobi bawah setibanya dia di situ. Bersama senyuman.
Suka benar dia melihat keluarga suaminya. Sangat good looking semuanya.
“Akak okey ke nak drive
ni?” Risau dia. Selalunya ada along yang akan menjemput kakak iparnya. Hari
ini along pula terpaksa pulang lewat.
“Okey aje. Jangan
risau.” Kereta terus bergerak untuk pulang.
Entah di mana
silapnya, suasana yang aman dan tenang itu telah didatangi ribut. Kereta yang
dipandu pada kelajuan sederhana tiba-tiba diseret dengan sebuah lori dan
menghimpit pembahagi jalan.
Remuk di bahagian
pemandu dan berasap.
Orang ramai yang
melihat kejadian itu terpegun. Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata. Mujur
ada manusia yang pantas menghubungi pihak berwajib untuk mendapatkan bantuan.
Ada juga beberapa manusia yang cuba melihat isi penumpang kenderaan yang sudah
kemek dan remuk itu.
Lama menunggu barulah
polis bersama pertolongan bomba dan ambulans tiba memberikan bantuan kecemasan.
BUNYI tapak kaki
berlari langsung tidak membuatnya mengangkat wajah. Sehinggalah ada tepukan di
bahu.
“Along.. macam mana?”
Irfan menyoal. Dia pantas pulang sebaik menerima berita kemalangan isteri dan
kakak iparnya. Bagai luruh jantungnya, lemah lututnya. Tubuhnya seolah tidak
bermaya namun, digagahi.
Adam menggeleng. Sudah
hampir tiga jam dia di sini. “Doktor tak keluar lagi.” Bibir diketap. Dia mahu
menangis tapi, tiada satu tangisan pun kedengaran.
Irfan mengambil duduk
di sisi abang iparnya. Wajah mertuanya yang sembam di hadapannya di pandang
sayu. Tidak senang duduk dia jadinya. Kesal.
Bersebab rupanya rasa
tidak senang hatinya sejak semalam lagi. Fikirnya dia cuma perasaannya saja.
Tidak sangka sebegini teruk kejadiannya. Mata dipejam bersama keluhan berat.
Doktor keluar beberapa
jam kemudiannya. Wajah yang kelelahan itu buatkan mereka tidak senang duduk.
Buatkan hati tidak tenteram.
“Anak-anak saya macam
mana, doktor?” Suara ayah tenang bertanya.
Doktor itu mengeluh
sebelum menyampaikan berita yang dibawanya.
AAIRA mengesat
wajahnya. Sedih. Panggilan video yang dibuat suaminya buatkan air matanya tidak
berhenti mengalir. Tepukan pada bahunya langsung tidak menenangkannya. Makin
laju air mata itu turun.
“Kesiannya along, ibu.”
Menggogoi dia pada bahu ibunya. Ibu juga turut sama mengalir air mata melihat
panggilan video itu.
Dari awal sehingga
habis penggebumian itu. Dilihatnya along tetap tenang menguruskan. Along juga
yang turun meletakkan jenazah kecil itu di rumah barunya. Along juga yang mendirikan
batu nesan di kuburan itu.
Langsung tiada air
mata pada wajah lelaki itu.
Along bersama Irfan
dan ayah pulang bersama dan tiba di hospital petang itu. Along tiba bersama
senyuman pahitnya.
“Nama dia Aisha Dania.”
Along senyum kemudiannya. Membayangkan wajah anaknya yang dihantar tadi.
“Along turun bawah
kejap.” Adam meminta diri. Dia tak tengok lagi wajah kesayangannya hari ini.
Rindu.
Aaira senyum menutup
rasa hiba dalam hati. Puas di tahan air matanya dari mengalir sebaik along tiba
tadi. Dia tahu along cukup tak suka jika orang memandangnya simpati.
Pintu yang ditutup itu
Irfan pandang. Pergilah, along. Pergi kuatkan hati kau.
“Alhamdulillah,
keadaan Puan Aaira stabil. Tak banyak kecederaan pada tubuhnya. Tapi, saya
minta maaf. Keadaan Puan Naaz sangat teruk. Kami akan cuba sehabis daya untuk Puan
Naaz. Cuma baby.. baby sempat bertahan lima minit saja sebaik dia keluar sebelum
jantungnya berhenti. Maafkan kami.”
Itu kata doktor
beberapa minggu lepas.
“Tak tahu.. yang
Aaira ingat kak long sempat peluk Aaira. Kak long peluk kuat sangat. Kak long
sempat tanya Aaira okey ke tak sebelum Aaira tak dengar suara kak long dah.”
Itu kata Aaira sebaik
dia sedar beberapa hari kemudiannya.
ADAM
memejamkan mata. Apa yang diberitahu doktor dua hari lepas sangat merunsingkan
hatinya. Buatkan dia tak senang duduk. Puas dia berfikir baik buruk dari keputusannya.
“Keadaan isteri
encik sangat teruk. Kami dah temui jalan buntu. Sudah tiada cara lagi untuk
isteri encik sembuh. Kami terpaksa hentikan bantuan pernafasan. Bantuan
pernafasan tu hanya akan menyakitkan isteri encik.”
Wajah keluarganya dipandang.
Masing-masing menunggu dia bersuara. Tapi, suaranya sudah tidak mahu keluar. Dia
buntu.
“Along dah buat keputusan
ke?” Suara ayah.
Adam gigit bibir
wajahnya. Seraya dia mengangguk. “Tapi, along tak sanggup.” Dia menggeleng
beberapa kali. Jelas air mata jatuh mengena seluarnya.
Aaira dan ibu lantas
berpelukan. Beginikah pengakhiran hidup wanita kesayangan mereka?
“Naaz nak jumpa anak
dia.” Ayah bersuara lagi bersama tepukan di belakang anak sulungnya. Pelukan
kuat itu buatkan dia rapuh sama bersama tangisan.
TANGAN itu
digenggam lantas dikucup kekura. Dia bangkit membongkok mendekatkan bibirnya
pada telinga si isteri yang cuma berbaring.
“My love.. jauh
perjalanan kita. Abang tak sangka perkahwinan kita berakhir seperti ini. Banyak
sangat perkara yang kita dah buat bersama. Kita dah lalui macam-macam. Abang
minta maaf untuk semua salah silap abang pada sayang. I love you, sayang
cinta hati saya.”
Dahi diletakkan pada
bahu si isteri. Dia tak sanggup. Dia tak kuat.
“Kalau sayang tak
kuat.. sayang pergilah. Abang izinkan. Kita.. kita jumpa di sana nanti.”
PAGI ITU, kuat
Aaira menangis sebaik menerima berita kematian kakak kesayangannya. Kaklongnya
pergi sebelum tiba waktu menghentikan alat bantuan pernafasan dijadualkan. Kak
long pergi sewaktu along melagukan bacaan yasin seusai solat subuh.
Berita yang sangat
menghibakan. Berita yang sangat mendukacitakan. Berita yang pasti buatkan dia
hilang harapan.
Seperti ulang tayang,
baru beberapa minggu lepas dia melihat situasi ini menerusi panggilan video.
Kini dia melihatnya sekali lagi, tapi versi realiti. Ketenangan wajah along
sangat buatkan dia hampir meraung.
Macam mana along boleh
setenang dan setabah ini? Meski bukan terjadi padanya, tapi kak long sudah
menjadi sebahagian dari dirinya. Semangat kak long yang buatkan dia bertahan
setiap hari. Dari mana lagi dia akan cari penguat semangatnya selepas ini?
Adam memandang kuburan
itu. Kubur yang menjadi rumah baru isterinya. Di sebelah kubur itu juga
bersemadinya anak mereka. Berjiran. Adam senyum pahit.
“Macam mana abang nak
lalui hari-hari abang tanpa sayang selepas ini?”
Air jernih di pipi
dikesat sebelum dia melangkah pergi.
Catitan Penulis:
Saya tak tahu nak letak tajuk apa sebab saya suka menulis cerita dulu baru fikir tajuk. hehehe
Mula menulis
pada: 5/11/2019
Terhenti
di tengah jalan.
Mula
sambung pada: 29/6/2021
Tamat.
No comments:
Post a Comment
Buah fikiran anda amatlah di hargai.