"Setiap cerita yang dikarang di dalam blog ini adalah hak milik penulis. Sebarang ciplak adalah tidak dibenarkan. Terima kasih."

Search This Blog

Friday, December 24, 2021

Certot - Poli

 Air dihidang di atas meja. Senyuman diukir menjemput tetamu petang itu menjamu selera. Petang apa, nak dekat maghrib dah. Dah senja baru nak buat sesi menziarah rumah ke rumah ke?


Duduh dilabuh di sisi emak. Dia bukannya perempuan melayu terakhir yang kena duduk di dapur lepas hidang jamuan eh.


Wajah tiga mak cik yang mampir ke rumahnya diperhati satu demi satu. Bibir tersenyum sinis bila ada satu wajah yang sangat familiar. Makcik ini lagi.


Aku rasa setiap rumah ada muka mak cik ni. Biasalah bila jadi radio bergerak ni. Semua benda dia kena tahu dulu. a.k.a mak cik bawang.


Anak-anak dia mesti penat ada mak macam ni, bukan?


Ternaik kening bila mak cik bawang itu tiba-tiba menyoal. Amboi, dah habis berbual pasal semua orang ke? Sekarang ni giliran dia pula yang akan dijaja nanti?


“Kamu ni belajar lagi ke?”


Zana angguk. “Ya, mak cik. Saya belajar lagi.”


“Belajar kat mana?”


“Di Poli je, acik.” Senyum nipis.


Nampak mak cik itu menyinis. “Poli aje? Poli mana? Anak mak cik si Julia tu belajar di UIA lagi tau. Siap ada tulis antarabangsa haa..” Bersama memek muka mak cik itu membangga anaknya.


Wajah emak dipandang pula, “Tak adalah pandai mana pun anak kamu ni, Gee.”


Nampak wajah emak yang tenang itu hanya tersenyum. Tapi, tidak dia. Poli aje dia cakap?


Eh, mak siapa ni? Jangan sampai aku yang perhambat dia balik rumah nanti.


“Poliklinik aje mak cik. Nanti kalau mak cik sakit mulut, mak cik datanglah. Saya bagi free aje rawatan untuk mak cik. Poliklinik saya dekat pekan aje.” Biar mampus mulut kau aku rawat nanti.


Anak mak cik sampai UIA aje? Alaahai.. saya ni tak main universiti kat Malaysia ni, mak cik. Tak best sangat pun. Jadi, saya sambung di India. Alhamdulillah, dah habis belajar, sekarang jadi doktor di poli tu.”Jeda seketika.


Kau sabar jap, cik. Saya ni banyak benda nak tembak acik.


Tubuh didekatkan ke arah mak cik itu. Tangan diletak di sebelah mulut, gaya berbisik. “Saya ingat lepas ni nak bawa mak pindah ke pekan. Duduk sini tak amanlah, acik. Banyak sangat radio bergerak bawa cerita tak betul.”


Bahu yang ditampar emak digosok. Ikut dari mata emak; kau jangan nak buat perangai eh.


Maka terdiamlah mak cik itu. Langsung diajak dua lagi yang mengekorinya beredar ke rumah seterusnya.


Acik jangan lupa balik rumah pula. Dah malam ni. Nanti kena sorok hantu. Hantu suka orang mulut potpet ni tau.”


Makin laju mak cik itu berjalan menarik dua lagi rakannya.

Friday, December 17, 2021

Certot - Scanner

Ting!

Bunyi notification dari komputer yang digunakannya kedengaran.

Dihiraukan seketika sementelah masih banyak kerja yang perlu disiapkan.


Kerja dulu, lagha kemudian okey.


Setengah jam kemudian barulah dia mengangkat kepala bila lenguh makin berleluasa. Kepala didongakkan memandang syiling buat berapa ketika. Mata dipejam dan nafas dihembus panjang.


Penat betul harini. Report yang dihantar kepadanya tidak berhenti. Semuanya memerlukan perhatiannya untuk di-cross-checking sebelum dia serahkan pada bos.


Tangan diletakkan pada tetikus. Dilarikan cursor pada tab WhatsApp. Chat yang di-pin di klik lantas dibaca.


Busy-nya dia..


Mata terus dibulatkan. Jari terus menari atas papan kekunci.


Awak aje yang tak busy saya tengok.



Ruang notification di tepi kanan skrin komputer di klik pula bila teringat pada bunyi ting tadi. Siapa pula yang hantar email ni?


“Eh?” Bila tersedar bukan email yang diterimanya. Tapi, notifikasi daripada scanner menandakan ada fail dari scanner pada printer yang diterima masuk ke komputernya.


“Bila pula aku gi scan tadi? Aku duduk buat kerja saja dari tadi.” Dahi mula berkerut memikir.


“Takkanlah ada orang salah scan tertekan ke komputer aku?” Macam mustahil pula. Sedangkan di printer scanner tu dah tulis nama komputer masing-masing.


Oleh kerana tahap curious yang tinggi dalam diri, Bee terus klik pada fail format pdf yang muncul di folder scanner tertulis namanya.


Halallah. Siapa suruh salah sent.


Bee tak tahu nak bereaksi bagaimana bila fail itu sudah memenuhi skrin. Lantas mata berlari mencari si dia yang duduk tidak jauh sebaris di hadapannya.


Bila terasa seolah diperhati, lelaki itu mengangkat wajah. Mata mereka bertemu dan satu kenyitan dihadiahkan pada dirinya.


Ting!


Mata berlari ke sudut kanan skrin. Naik satu bubble chat notification bersama ayat:


Cool down would you? Stress sangat I tengok dari tadi. Take a restlah.


Bee senyum akhirnya. Entah mengapa.. Dengan ayat itu pun sudah buatkan hatinya berbunga.


Pdf dari scanner yang diberi lelaki itu dibaca sekali lagi..




Tuesday, June 29, 2021

Cerpen: Dia Isteriku

 

Baju melayu berwarna putih di tubuh dikemaskan. Dipadankan dengan seluar hitam. Wajah yang terbias di cermin ditatap lama. Senyuman manis diukir kemudiannya. Mata yang sedikit kemerahan buatkan sang bibir mengukir keluhan.

“Kau kuat, Dam.” Ayat itu sekali lagi diucap. Penumbuk yang digenggam bersama bibir yang digigit mematikan langsung rasa sebak yang mula menghuni.

Dadanya sesak.

Jiwanya rapuh.

“Kau boleh, Dam. Kau boleh!” Kepala mengangguk.

Hujung jari menyeka tubir mata yang membocor. Entah untuk kali keberapa buat empat malam yang lepas air mata tidak henti mengalir.

Nafas ditarik dalam sebaik mendengar pintu diketuk dari luar. Setelah menstabilkan diri, dia melangkah keluar. Pandangannya dijamah dengan sepasang mata yang turut sama terpamer kemerahan.

“Adik balik dulu, along. Esok tengahari adik datang lagi.”

Seolah memahami, si adik perempuan hanya memandang sayu bersama sebuah senyuman. Terus melangkah pergi bersama suami di sisi.

Tubuh kembali berpusing, memandang sekujur tubuh yang terbaring di hujung sana. Memori itu datang lagi.


-----------


PANTAS sekali mata kembali memandang buku di hadapan. Detak jantung yang berdegup rancak buatkannya menggeleng tanpa sedar. Wajah dipegunkan memandang halaman yang bertulis. Mata hanya berkelip tanpa membaca.

Fokusnya langsung hilang.

Tersentak saat bahu ditepuk. “Kau dah kenapa ni, Dam?” Suara teman di sebelah. “Apasal tiba-tiba kejung ni?”

Perlahan sekali kepala dipusing memandang. Pantas digeleng. Hujung mata memandang pemandangannya awal tadi. Liur ditelan saat seorang gadis yang lagi membaca itu tekun membaca isi ayat pada kertas yang berlipat.

Dijeling sesekali melihat reaksi. Sesekali bibirnya tersengih. Kadangkala mengukirkan senyuman. Dan senyuman itulah yang buatkan dia di sini turut sama tersenyum.

“Soalan aggregate income tu senang sangat ke sampai buat kau senyum?” Akmal di sisi menegur. Tak berkenan sungguh dia dengan perangai angau Adam sejak seminggu dua ni. Tahulah tengah mengorat seseorang.

“Senanglah. Mana ada susah. Kau aje yang bengap tak pandai-pandai. Aku dah ajar banyak kali dah, pun tak faham jugak.” Bidas Adam.

Akmal menjeling. Menyampah betul dengan perangai riak Adam ni. Tahulah budak pandai. Setiap semester dekan. “Tak baik tahu mengeluh. Ajar ilmu ni besar pahalanya.”

Adam mencebik. Bukannya dia mengeluh. Cuma tahap senang tangkap Akmal ni boleh kalah budak tadika.

Bunyi kerusi ditolak mematikan niat Adam mahu membalas. Nun di hujung sana, si gadis pujaannya sudah menggalas beg mahu keluar. Pantas jam dipergelangan tangan dilihat. 1.45 petang.

“Jomlah.” Ajaknya.

“Kau tulis apa dalam surat tu?” Akmal menyoal sewaktu mereka beriringan ke kelas.

Sebelah kening naik. “Kenapa kau nak tahu?”

“Lokek.”

Adam gelak. “Aku tulis..” Jeda. Bibirnya terjongket bila melihat Firas dan Taufiq juga memasang telinga. Nasiblah dia perasan awal gadis itu. Jika tidak, mahunya dikebas mereka bertiga. Bukan boleh percaya.

Adam kembali menyambung, “Jaga-jaga dengan Akmal, Firas dan Taufiq. Mereka buaya dalam U ni.” Sebelum dia berlari selamba meninggalkan ketiganya bersama jeliran lidah.

Tergelak dia spontan bila namanya dijerit.

Baris ayat yang tertera pada kertas yang ditulisnya tadi kembali terbayang di ruangan mata. “Saya suka awak.

 

-----------

 

“DAM.”

Adam menoleh. Seketika cuma sebelum mata kembali teralih pada permainan video di hadapan.

“Kau bukan ada nombor dia ke?”

“Nombor siapa?” Tengah berperang ni, otak tak boleh berhubung sangat.

“Ceit.” Akmal. “Girlfriend kaulah.”

Adam senyum. Girlfriend? Belum lagilah, Mal. “Soon to be, okay.

“Kenapa tak WhatsApp aje dia beritahu kau suka dia.” Tertanya juga Akmal, Adam dan perempuan yang dia ngorat tu, mereka pernah satu kumpulan untuk aktiviti kelab mereka. Kedua-duanya punya nombor masing-masing. Kenapa tak langsung saja beritahu? Ini sampai guna surat nak beritahu isi hati.

Tahulah jiwa klasik pun, tapi kalau pakai surat lambat tahu. Nanti orang yang dicintai dikebas orang, apa pun tak dapat.

“Dah pun.” Selamba Adam membalas.

Membulat mata Akmal. “Dia balas apa?”

“Mengoratlah sampai dia suka aku semula.” Tersengih Adam mengenang.

“Seriuslah, dia balas macam tu?”

Adam menggeleng. “Bukan dia yang balas.”

“Habistu?”

“Ayah dia.”

Sunyi. Seminit.

Berkerut dahi Akmal mendengar. Ye ye je si Adam ni.

 

 -----------


“ALONG.”

Adam menoleh. Mutiara jernih di hujung mata diseka. Tersenyum dia menyambut kehadiran si adik dan suami.

“Adik ada bawa makanan. Along makan eh.”

Menggeleng. “Along tak lapar.”

“Along janganlah macam ni. Nanti kalau along sakit, siapa nak jaga kak long?” Bahu Adam diusap.

“Biarlah kami pergi bersama.” Balas Adam sayu.

“Along..” Tak berkenan bila along asyik mengulang ayat yang sama.

“Apa lagi dik? Doktor juga yang cakap, keadaan kak long 50-50. Apa lagi?” Keluh Adam. Penat. Sungguh, dia penat.

“Tapi doktor bukan tuhan, along.” Keras si adik.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, Aaira balik ajelah.”

Aaira mengeluh. Kalau along sudah memanggilnya dengan nama, bukan lagi sebagai adik, maknanya along sangat tak suka. Sebaiknya dibiarkan along sendiri sebelum kemarahan itu tercetus.

“Makanan ni jangan lupa makan.” Pesan Aaira sebelum menarik suaminya keluar.

Thats true love.” Ayat itu keluar dari bibir suaminya. Semenjak dia menjadi keluarga mereka, dia sangat mengagumi hubungan cinta abang dan kakak iparnya.

Aaira mengangguk sungguh. “Indeed.

Rumah tangga abang dan kakak iparnya seringkali dilanda badai, tapi hubungan mereka tetap utuh. Datanglah beribu kecaman dan tohmahan, mereka tetap setia bersama perisai yang gagah didirikan.

Perisai bernama cinta.

 

 -----------


MATA terpejam rapat tika telinga mendengar kata-kata penuh sinis dan sindiran itu. Meski sindiran itu bukan dituju padanya, tetap memarakkan rasa panas dalam hati. Jiwanya membara. Menunggu masa diledakkan segala rasa amarah ini.

“Kau tak pergi cek doktor ke? Mana tahu ada tersumbat mana-mana.”

“Kita ni orang perempuan, sebagai isteri, malu tahu kalau dah lima tahun kahwin, tapi masih tak ada anak.”

“Aaira yang kahwin tahun lepas pun dah ada anak. Kau takkan tak ada isi lagi?”

“Keturunan aku tak pernah lagi mandul macam kau!”

Aaira mengetap gigi kuat. Sudah. Cukup. Dia tak sanggup lagi mendengar kata-kata kejam sebegitu buat kakak ipar kesayangannya.

“Mak long!” Bukan niatnya mahu meninggi suara, tapi kata-kata mak long sangat merobek hatinya. “Jaga sikit mulut, mak long.”

Dia yang mendengar pun sudah sakit hati, inikan kakak iparnya yang menghadap. Pasti terluka.

“Aaira.” Teguran si ibu yang hanya dihiraukan.

Dipandang wanita yang berwajah bengis itu. Mak long. Tidak pasti selepas ini wanita itu layak dipanggil mak long olehnya. “Keturunan kita tak ada yang kejam macam ni.”

“Pergi naik atas, Aaira. Ini urusan mak long dengan perempuan ni. Kamu jangan masuk campur.” Keras.

“Perempuan ni kakak Aaira, mak long.” Wajah kakak ipar dipandang. Wanita itu hanya menunduk sejak dari dia tiba ke tempat kejadian. Tangan kakaknya yang menggigil itu, tahulah dia jiwa kakak kesayangannya sudah hancur.

Dibuka langkah mendekati kakak iparnya. Tangan yang menggigil itu dicapai sebelum digenggam erat. “Mak long sakitkan hati dia, sama macam mak long sakitkan hati Aaira.”

Sepi seketika.

“Aaira tak boleh terima apa yang mak long buat pada kak long Aaira.” Dia menggeleng yakin. Firm.

“Ibu pun..” Ibu dipandang. “Kenapa ibu tak halang? Kenapa ibu diam?”

Dia kecewa.

Lantas kakaknya ditarik mendaki anak tangga. Bilik kakaknya dituju. Lantas telefon yang semenjak tadi dalam genggaman dihidupkan. Dicari nombor along. Mengarah lelaki itu pulang secepat mungkin.

“Akak nak rehat sekejap.”

Aaira mengeluh. Sejak 10 minit mereka berdua, itulah ayat pertama yang ditutur kakak iparnya. Mendengar pada nada suara itu pun sudah dia faham isi hati kakaknya. Terluka. Kecewa. Hatinya patah.

“Kalau akak nak menangis, akak menangislah. Aaira ada di sini, tapi Aaira takkan dengar.” Bibir bawah digigit. Menunggu kepulangan along.

Bunyi esakan bernada perlahan itu cukup buatkan Aaira turut menangis. Pilu.

Hanya along saja yang kak long perlukan.

Hanya along saja yang boleh hentikan tangisan itu.

Hanya along.

 

-----------


ADAM terdiam sebaik mendengar cerita Aaira. Bibir bawahnya digigit kuat. Kolam mata yang bergenang buatkan hatinya sebak. Pandangannya jatuh pula pada si bidadari yang tertidur di sisi. Jelas kesan air mata pada bantal itu, tanda ia masih baru.

20 minit.

Hanya 20 minit dia keluar ke kedai membeli barang, untuk pulang menyaksikan si isteri diperlakukan sebegini. Jarak waktu yang sangat singkat untuk dicapai dek akal.

“Aaira keluar dulu.”

Menitis air mata sebaik bunyi pintu ditutup. Rambut si isteri yang menutup sebahagian mata diselit belakang telinga. Diusap kepala isteri tersayang.

“Susahkan jadi isteri abang?” Bisiknya perlahan.

Pipi isteri pula diusap. “Abang minta maaf. Isteri abang tak patut kena macam ni.” Bisiknya lagi.

“Abang minta maaf, sayang.” Dahi si isteri dikucup.

 

-----------


DADA yang tenang bernafas itu dipandang sebelum pandangannya jatuh pada wajah yang lagi lena tertidur. Wajah yang dirindui. Wajah yang sanggup berpenat untuknya tanpa mengeluh sikit pun.

Tangan yang bercucuk branula dicapai. Digenggam lembut tidak mahu menyakiti. Tiada refleksi. Tiada tindakbalas seperti selalunya.

Mengeluh bersama rasa sebak di dada.

“Macam mana..” Terhenti. “Macam mana isteri abang boleh kuat hadapi semua ni? How you endure all of this shit, sayang?” Lagi. “Abang..” Mengeluh. “Abang tak kuat.” Gigi diketap. “Abang tak kuat tanpa isteri tersayang abang.”

Dahi diletak pada lengan si isteri yang masih lagi belum terjaga. “I need you. Abang perlukan sayang abang.” Hidung disedut. “Bangun untuk abang, please?”

I need you.

I need you.

 

-----------


SEKITARNYA dipandang. Menggeleng kesal Adam bila telinga didendangkan dengan mulut murai dari dapur. Langsung hilang dahaganya sejak tadi. Mujur isterinya lagi keluar bersama Aaira melihat sekitar kampung. Jika tidak, pasti terluka lagi hati isterinya. Semenjak mereka pulang ke kampung neneknya sejak tiga hari lepas, sejak itu hati isterinya terluka.

“Apa ni, mak long?” Keras suaranya sebaik kaki dibawa melangkah menuruni tangga dapur. Dia kesal dengan sikap mak longnya.

“Hah, eloklah kamu dengar.” Mak long terus tersenyum melihat anak lelaki adiknya. “Aku dah bincang dengan ibu kamu, ibu kamu pun setuju. Kami nak nikahkan kamu dengan Farah.”

“Aku tak kata apa pun, long.” Balas ibu. Menggeleng ibu memandang Adam.

“Adam tak nak.” Tegas. “Adam dah ada isteri. Kenapa nak kena kahwin lagi?” Soalnya bersama gigi yang diketap. Api marahnya mula meledak.

“Isteri apa macam tu? Mana ada isteri yang tak boleh beri suami dia keturunan?” Kuat suara mak long menyoal. “Aku dari dulu tak berkenan dengan dia. Aku lagi suka kamu dengan Farah. Entah apa ada pada perempuan mandul tu sampai kamu tergila-gilakan dia.”

“Jijah!”

Terpejam mata Adam mendengar suara pekikan itu. Hampir saja dia mengherdik mak long tadi jika tiada suara yang terlebih dahulu melengking kuat.

“Jaga sikit mulut kamu. Aku tak pernah ajar keturunan aku berbahasa macam tu!” Suara Tok Ma, nenek Adam yang kuat itu menggamit perhatian manusia yang lagi mengambil angin di luar rumah.

“Kenapa ni?” Adam menoleh saat suara isterinya yang bertanya menyapa telinga. Pantas dia menggeleng. Terus tangan si isteri digenggam.

“Betullah apa yang Jijah cakap ni mak. Entah-entah perempuan mandul tu dah sihirkan si Adam ni sampai tergilakan dia.” Mak long masih mempertahankan dirinya. Sejak dulu lagi dia tak berkenan. Dia lagi suka kalau Farah, anak perempuannya yang menikah dengan Adam.

“Ohhh..” Seperti satu keluhan yang dilepaskan isterinya menggamit pandangannya. Mata mereka bertatapan sebaik dia menoleh. Tertahan nafas Adam melihat pandangan isterinya.

Pandangan terluka.

“Pasal saya kan?” Si isteri tersenyum tawar. Sakitnya hati ini, tuhan. “Kenapa saya famous sangat dekat kampung abang ni? Mana-mana pun orang bertanya pasal saya. Ceruk mana pun orang kenal saya.”

“Sayang..” Mati kata.

“Kamu bercakap macam tak belajar dari pengalaman, kan? Kamu tu.. berapa tahun kamu tunggu baru dapat Farah? 18 tahun? Hah?” Suara Tok Ma lagi. Buatkan mak long terdiam dan menunduk.

“Jalan hidup kamu dengan Naaz sama aje. Masing-masing diuji dengan masa. Cepat atau lambat aje. Allah tak bagi bukan sebab Dia tak sayang. Sebab Dia nak dengar suara kita merayu pada Dia.” Kembali perlahan suara Tok Ma.

Dari dulu lagi dia cukup tak berkenan dengan sikap anak sulungnya yang ini. Suka sangat membandingkan orang lain. Makin teruk perangainya bila Adam menolak lamaran Farah. Makin haru sifatnya bila Adam bernikah dengan Naaz.

Bahu si isteri yang kendur ke bawah dipeluk ketat. Berharap apa yang dikata Tok Ma tadi memberi sedikit sebanyak kelegaan dan kesenangan pada hati isterinya.

“Kita hanya perlukan masa, sayang.” Ucapnya berbisik. Sempat sebuah kucupan singgah di dahi si isteri.

 

-----------


MUNDAR-MANDIR dia berjalan. Risau. Takut. Semua perasaan bercampur baur. Tangan yang menggenggam antara satu sama lain tanda dia lagi keresahan. Pintu yang masih lagi tertutup buatkan dia berdebar hebat.

“Lama lagi ke, yang?”

Pintu terbuka. Terpampang wajah isterinya bersama riak kosong. Jangan kata...

Macam mana?” Soalnya dalam gementar.

Naaz langsung menghulurkan alat di tangan pada suaminya. “Tengoklah sendiri.” Ujarnya.

Matanya hanya memerhati tingkah suaminya yang terus melihat alat yang diserahkan tadi. Sebaik melihat, pandangan mereka kembali bersatu. Huh?

How.. do.. I.. react?” Soalnya tersekat. Dia seolah bingung dengan apa yang berlaku sekarang ni.

Lima saat.. sebelum terasa tubuhnya melayang. Dan terdengar suara jeritan suaminya.

We are gonna be a parent. Yahoo!”

Alhamdulillah, ya Allah. Segala puji hanya bagi-Mu.

 

-----------


TANGAN hangat itu erat menggenggam tangannya yang kedinginan. Keluhannya dibalas dengan senyuman manis. Senyuman yang buatkan dia terpikat.

We did it, sayang. Why with the fear?” Soal Adam lembut. Sejak tadi dia melihat si isteri yang sedaya upaya cuba mengelak dari bertembung dengan mak long.

Jika tidak kerana ini rumah keluarganya, jika tidak ini majlis untuk adiknya, pasti dia takkan membawa isterinya ke sini.

Kata-kata mak long selama ini kepada isterinya sangat memberi kesan yang mendalam. Sembilan tahun.. sembilan tahun isterinya terpaksa menelan semua kata-kata yang dilemparkan.

Macam mana awak boleh sekuat ini, sayangku?


 -----------

 

TELEFON yang bergetar di jawab. Panggilan dari Aaira, adik iparnya. Wanita itu meminta bantuannya untuk menjemputnya di tempat kerja petang nanti ekoran suaminya yang berada di luar kawasan. Dengan senang hati dia bersetuju.

Seperti yang dijanjikan, Aaira sudah di lobi bawah setibanya dia di situ. Bersama senyuman. Suka benar dia melihat keluarga suaminya. Sangat good looking semuanya.

“Akak okey ke nak drive ni?” Risau dia. Selalunya ada along yang akan menjemput kakak iparnya. Hari ini along pula terpaksa pulang lewat.

“Okey aje. Jangan risau.” Kereta terus bergerak untuk pulang.

Entah di mana silapnya, suasana yang aman dan tenang itu telah didatangi ribut. Kereta yang dipandu pada kelajuan sederhana tiba-tiba diseret dengan sebuah lori dan menghimpit pembahagi jalan.

Remuk di bahagian pemandu dan berasap.

Orang ramai yang melihat kejadian itu terpegun. Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata. Mujur ada manusia yang pantas menghubungi pihak berwajib untuk mendapatkan bantuan. Ada juga beberapa manusia yang cuba melihat isi penumpang kenderaan yang sudah kemek dan remuk itu.

Lama menunggu barulah polis bersama pertolongan bomba dan ambulans tiba memberikan bantuan kecemasan.

 

 -----------


BUNYI tapak kaki berlari langsung tidak membuatnya mengangkat wajah. Sehinggalah ada tepukan di bahu.

“Along.. macam mana?” Irfan menyoal. Dia pantas pulang sebaik menerima berita kemalangan isteri dan kakak iparnya. Bagai luruh jantungnya, lemah lututnya. Tubuhnya seolah tidak bermaya namun, digagahi.

Adam menggeleng. Sudah hampir tiga jam dia di sini. “Doktor tak keluar lagi.” Bibir diketap. Dia mahu menangis tapi, tiada satu tangisan pun kedengaran.

Irfan mengambil duduk di sisi abang iparnya. Wajah mertuanya yang sembam di hadapannya di pandang sayu. Tidak senang duduk dia jadinya. Kesal.

Bersebab rupanya rasa tidak senang hatinya sejak semalam lagi. Fikirnya dia cuma perasaannya saja. Tidak sangka sebegini teruk kejadiannya. Mata dipejam bersama keluhan berat.

Doktor keluar beberapa jam kemudiannya. Wajah yang kelelahan itu buatkan mereka tidak senang duduk. Buatkan hati tidak tenteram.

“Anak-anak saya macam mana, doktor?” Suara ayah tenang bertanya.

Doktor itu mengeluh sebelum menyampaikan berita yang dibawanya.

 

 -----------


AAIRA mengesat wajahnya. Sedih. Panggilan video yang dibuat suaminya buatkan air matanya tidak berhenti mengalir. Tepukan pada bahunya langsung tidak menenangkannya. Makin laju air mata itu turun.

“Kesiannya along, ibu.” Menggogoi dia pada bahu ibunya. Ibu juga turut sama mengalir air mata melihat panggilan video itu.

Dari awal sehingga habis penggebumian itu. Dilihatnya along tetap tenang menguruskan. Along juga yang turun meletakkan jenazah kecil itu di rumah barunya. Along juga yang mendirikan batu nesan di kuburan itu.

Langsung tiada air mata pada wajah lelaki itu.

Along bersama Irfan dan ayah pulang bersama dan tiba di hospital petang itu. Along tiba bersama senyuman pahitnya.

“Nama dia Aisha Dania.” Along senyum kemudiannya. Membayangkan wajah anaknya yang dihantar tadi.

“Along turun bawah kejap.” Adam meminta diri. Dia tak tengok lagi wajah kesayangannya hari ini. Rindu.

Aaira senyum menutup rasa hiba dalam hati. Puas di tahan air matanya dari mengalir sebaik along tiba tadi. Dia tahu along cukup tak suka jika orang memandangnya simpati.

Pintu yang ditutup itu Irfan pandang. Pergilah, along. Pergi kuatkan hati kau.

Alhamdulillah, keadaan Puan Aaira stabil. Tak banyak kecederaan pada tubuhnya. Tapi, saya minta maaf. Keadaan Puan Naaz sangat teruk. Kami akan cuba sehabis daya untuk Puan Naaz. Cuma baby.. baby sempat bertahan lima minit saja sebaik dia keluar sebelum jantungnya berhenti. Maafkan kami.

Itu kata doktor beberapa minggu lepas.

Tak tahu.. yang Aaira ingat kak long sempat peluk Aaira. Kak long peluk kuat sangat. Kak long sempat tanya Aaira okey ke tak sebelum Aaira tak dengar suara kak long dah.

Itu kata Aaira sebaik dia sedar beberapa hari kemudiannya.

 

 -----------


ADAM memejamkan mata. Apa yang diberitahu doktor dua hari lepas sangat merunsingkan hatinya. Buatkan dia tak senang duduk. Puas dia berfikir baik buruk dari keputusannya.

Keadaan isteri encik sangat teruk. Kami dah temui jalan buntu. Sudah tiada cara lagi untuk isteri encik sembuh. Kami terpaksa hentikan bantuan pernafasan. Bantuan pernafasan tu hanya akan menyakitkan isteri encik.”

Wajah keluarganya dipandang. Masing-masing menunggu dia bersuara. Tapi, suaranya sudah tidak mahu keluar. Dia buntu.

“Along dah buat keputusan ke?” Suara ayah.

Adam gigit bibir wajahnya. Seraya dia mengangguk. “Tapi, along tak sanggup.” Dia menggeleng beberapa kali. Jelas air mata jatuh mengena seluarnya.

Aaira dan ibu lantas berpelukan. Beginikah pengakhiran hidup wanita kesayangan mereka?

“Naaz nak jumpa anak dia.” Ayah bersuara lagi bersama tepukan di belakang anak sulungnya. Pelukan kuat itu buatkan dia rapuh sama bersama tangisan.

 

 -----------


TANGAN itu digenggam lantas dikucup kekura. Dia bangkit membongkok mendekatkan bibirnya pada telinga si isteri yang cuma berbaring.

My love.. jauh perjalanan kita. Abang tak sangka perkahwinan kita berakhir seperti ini. Banyak sangat perkara yang kita dah buat bersama. Kita dah lalui macam-macam. Abang minta maaf untuk semua salah silap abang pada sayang. I love you, sayang cinta hati saya.”

Dahi diletakkan pada bahu si isteri. Dia tak sanggup. Dia tak kuat.

“Kalau sayang tak kuat.. sayang pergilah. Abang izinkan. Kita.. kita jumpa di sana nanti.”

 

 -----------


PAGI ITU, kuat Aaira menangis sebaik menerima berita kematian kakak kesayangannya. Kaklongnya pergi sebelum tiba waktu menghentikan alat bantuan pernafasan dijadualkan. Kak long pergi sewaktu along melagukan bacaan yasin seusai solat subuh.

Berita yang sangat menghibakan. Berita yang sangat mendukacitakan. Berita yang pasti buatkan dia hilang harapan.

Seperti ulang tayang, baru beberapa minggu lepas dia melihat situasi ini menerusi panggilan video. Kini dia melihatnya sekali lagi, tapi versi realiti. Ketenangan wajah along sangat buatkan dia hampir meraung.

Macam mana along boleh setenang dan setabah ini? Meski bukan terjadi padanya, tapi kak long sudah menjadi sebahagian dari dirinya. Semangat kak long yang buatkan dia bertahan setiap hari. Dari mana lagi dia akan cari penguat semangatnya selepas ini?

Adam memandang kuburan itu. Kubur yang menjadi rumah baru isterinya. Di sebelah kubur itu juga bersemadinya anak mereka. Berjiran. Adam senyum pahit.

“Macam mana abang nak lalui hari-hari abang tanpa sayang selepas ini?”

Air jernih di pipi dikesat sebelum dia melangkah pergi.

 

-----------

Catitan Penulis:

Saya tak tahu nak letak tajuk apa sebab saya suka menulis cerita dulu baru fikir tajuk. hehehe

Mula menulis pada: 5/11/2019

Terhenti di tengah jalan.

Mula sambung pada: 29/6/2021

Tamat.

Wednesday, November 18, 2020

Cinta Ini

Betapa Engkau Menyintai
Agungkan Aku Bagai Seorang Puteri
Selalu Kau Puja Diriku Ini
Melayang Aku Tak Memijak Bumi

Namun Terkadang Ku Rasakan
Apakah Sikapmu Tak Berlebihan
Aku Wanita Tak Sempurna
Bukan Sekilaunya Batu Permata

Marilah Bersama Jalani Cinta Kita Apa Adanya
Saling Mengerti Dan Sudi Menerima
Kita Manusia Biasa
Marilah Menjaga Kesucian Cinta Rahmat Yang Kuasa
Saling Berpadu Hati Untuk Berdua
Dalam Dakapan Mesra

Nikmati Suka Berbagi Duka
Seiring Denganmu Aku Bahagia
Genggam Jemari Dan Berjanji
Setia Selamanya Sampai Akhir Nanti
 

Cinta Ini - Siti Nurhaliza

Wednesday, September 30, 2020

CerTot - Tegur

 Matanya hanya pandang dua manusia yang berdiri d ihadapannya. Ralit sekali. Bibir sesekali mengoyak senyum.

“Jaga diri baik-baik. Duduk sini jangan buat sombong. Pandai-pandai cari kawan.” Telinganya dengar sayup-sayup si ibu memberi sebuah pesanan pada si anak.

“Ish, ibu ni. Orang tahulah!” Dingin dan keras sekali ayat yang keluar dari mulut si anak. Langsung tak pandang wajah ibunya yang tersenyum.

“Nanti nak cuti, ibu datang sini ambil Amal.” Si ibu dengan senyuman bersuara lagi. Langsung tak ambil kisah dengan suara anaknya yang sudah meninggi.

“Tak payah ambillah! Amal duduk sini aje sampai bila-bila.”

“Takkan dah habis belajar pun masih nak duduk sini?”

“Dah habis belajar, carilah kerja. Lepas itu duduk rumah sendiri!”

“Tak nak balik rumah ibu ke?”

“Tak nak! Amal tak ada ibu yang suka paksa-paksa anak dia!” Beg sandang yang berisi baju di sangkut di bahu. Bersedia nak mulakan langkah.

Nampak si ibu masih dengan senyuman. Langsung tak terkesan di hatinya akan nada tak suka anaknya. “Okeylah. Ibu nak balik dulu ni. Nanti bila-bila, ibu datang lagi.” Masih berlembut.

“Tak payah datang pun tak apa. Amal tak ada ibu yang miskin macam inilah. Buat malu Amal aje. Dah, pergi balik sana!” Menghalau.

Juga dengan senyuman, si ibu melangkah perlahan pergi tinggalkan anaknya.

Si anak terus mengorak langkah, dan matanya ternampak aku yang semenjak tadi menjadi pemerhati. Si anak itu mendekati aku di sini bersama senyuman.

“Hai. Aku, Amal.”

Aku senyum. “Aku Iyaz.” Diam sekejap sebelum sambung. “Siapa tadi tu? Mak kau ke?” Tanya aku pada Amal meski aku sudah lihat semuanya tadi.

Amal mati senyum sebelum perlahan-lahan angguk. Riak wajahnya bertukar.

“Bro, aku nak pesan sikit ni. Tak elok kalau kau layan mak kau macam tadi.”

“Apa masalah kau?”

“Tak ada apalah. Aku cuma menegur. Sebagai saudara sesama Islam yang dah tiada emak, aku rasa aku patut tegur kau.” Diam. “Aku rasa kau sangat kurang ajar dengan mak kau. Kau tahu tak, aku sedih bila tengok kau layan mak kau nak tak nak macam tadi. Kalau kau tak nak mak kau, apa kata kalau kau bagi aje kat aku. Dah 20 tahun aku hidup tanpa seorang mak di sisi. Aku nak juga merasa hidup macam kau yang ada seorang emak.”

Amal diam. Tak tahu nak cakap apa.

“Kau tahu tak, mak kau sanggup tahan malu bila nak lahirkan kau depan doktor. Tapi sekarang, kau buat mak kau terpaksa tanggung malu sekali lagi sebab kau dah hina dia depan orang ramai tadi.”

Amal masih lagi diam.

“Kalau kau tak keberatan, kalau kau dah sangat benci mak kau, apa kata kau bagi aje mak kau pada aku. Aku janji, aku akan jaga mak kau macam aku jaga mak aku sendiri. Tapi, aku nak bagi amaran, bila kau dah bagi mak kau pada aku, jangan sesekali kau munculkan diri kau depan mak aku lagi. Dan sepanjang mak kau dah jadi mak aku, aku akan pastikan yang mak aku akan lupa siapa kau dalam diri dia.” Sinis senyuman Iyaz.

Amal jatuh terduduk di situ. Air mata mengalir di pipi. Menyesali apa yang dah dia buat pada ibunya tadi.

 

P/s : I made this story at 9.00pm, 18 Januari 2015, tajuknya Lintasan Idea.