Pages

Search This Blog

3 Feb 2015

Cerpen - Redhalah Hati

      Inai di tangan masih merah. Kartika masih duduk mengelamun di balkoni biliknya. Air mata jatuh lagi dipipi. Dia pekup wajahnya. Menangis disitu. Rintikan hujan waktu petang langsung tidak mengganggu konstrentasinya mahu menangis. Sungguh, hatinya sedih dan pilu saat ini.

            Dia mendongak bila rasa bahunya disentuh. Anak rambut yang menutupi sebahagian matanya disebak ke belakang. Di sisinya kini, berdiri seorang lelaki yang kacak mengenakan baju melayu berwarna putih susu. Wajah muram lelaki itu buatkan makin laju air mata mengalir di pipi Kartika.

            “Tika sabar ya, sayang.”

            Tak tunggu lama, Kartika lantas memeluk tubuh lelaki itu. Erat pelukannya. Dia menangis dalam pelukan lelaki itu. Kartika rasa seperti belakang tubuhnya diusap. Makin laju air matanya menuruni pipi. Sebak.

            “Abang..” Dia tak jadi teruskan ayatnya bila sendu lebih menguasai diri.

            “Sayang.. Allah uji kita, sebab Dia tahu kita kuat. Janji dengan abang yang sayang abang ni kuat, ya?”

            Kartika menggeleng. “Tika.. Tika tak kuat, abang.”

            “No!” Lelaki itu lepaskan pelukan. Dia pandang Kartika. Air mata yang merembes keluar disekanya lembut. “Don’t say like that, dear. I know you strong enough. Jangan menangis macam ni. Arwah tak tenang kalau Tika terus-terusan menangis macam ni.”

            Kartika diam. Betulkah apa yang dibilang lelaki ini? Arwah tak tenang jika dia menangis, meratap, meraung seperti ini?

            “Sudahlah. Tika berehat dulu. Nanti malam ada tahlil.”

*****

     Diary.. Aku baru sahaja mahu merasa macam mana alam perkahwinan dengan orang yang aku cintai. Aku ingin menjadi seperti baba dengan mama yang bahagia menempuh alam perkahwinan dengan cinta yang mekar di antara mereka. Tapi.. Aku merancang. Allah juga merancang. Perancangan Allah merupakan sebaik-baik perancangan.

     Diary.. Apa guna inai merah yang melekat dijemari aku ini andai bukan untuk aku membina empayar bersama orang yang aku cintai? Tiada gunanya lagi inai ini sekiranya pengakhirannya, sungguh meruntun sepenuh jiwaku. Aku tak sangka, sebegini cepat dia pergi tinggalkan aku.

     Diary.. Sekarang baru aku mengerti apa yang diucapkan lelaki itu minggu lepas. Katanya lelaki itu, dia takkan selamanya berada disisi aku. Pesannya, dia menyuruh aku menjaga diri baik-baik sepanjang ketiadannya nanti.

     Ya Allah.. Mengapa begitu cepat Kau mengambilnya dari aku?

     Diary.. Aku sama sekali tidak menyangka, dihari yang sepatutnya aku dinikahkan bersamanya, hari persandingan kami, hari yang menyaksikan bersatunya dua jiwa akhirnya bertukar menjadi hari bersemadinya tubuh seorang insan ke dalam tanah tempatnya dikembalikan.

     Hari yang sepatutnya kami menuju ke masjid mahu diijabkabulkan bertukar kepada hari, kami ke masjid mahu menunaikan solat jenazah untuk bakal pengantin lelaki.

     Duhai hati.. Tabahkanlah dirimu. Duhai jiwa, redhalah dengan pemergian insan yang paling kamu sayangi.


      Buku berkulit hitam itu ditutupnya. Air mata yang meleleh, dilap pakai belakang tangan. Dia bangkit membawa bersama buku itu melangkah ke almari. Pintu almari dibuka dan lantas dia bercangkung. Disitu, ada satu kotak besar berwarna biru dibawa keluar. Kotak itu dibuka.

            Mengeluh dirinya disaat ternampak kepingan gambar-gambarnya bersama dengan seorang lelaki. Air matanya mengalir lagi. Melihat gambar-gambar itu, cukup membuatkan perasaannya sedih dan terluka.

            “Aku rindu dia.” Bisik Kartika perlahan sambil mengusap gambar lelaki itu.

            Dia jatuh terduduk. Aku tak pernah rasa sedih sebegini. Inilah kali pertama aku merasa perasaan sedih seperti ini. Disaat aku mahu mengecap kebahagiaan, muncul pula sengsara yang membuat hati aku meruntun hiba. Dan tanpa aku sedari, aku jatuh tersungkur bersama sedih itu.

            Satu kertas yang berlipat berwarna merah hati diambil dari celahan gambar-gambar itu. Gambar ditangan diletakkan kembali dalam kotak. Kertas sederhana besar itu dibuka lembut.

            Kartika membaca tulisan tangan yang tercatit diatas muka kertas itu. Tersenyum dia bila mengingati kisah dibalik tulisan-tulisan ini.


            “Nah!” Satu suara kedengaran disisinya. Dan ada sesuatu dihulur pada Kartika. Untuk sesaat, terasa rumput basah yang tinggal masa mahu kering diduduki seseorang.

            Kartika senyum. “Dari mana ni? Kenapa lambat? Berjanggut dah uban atas kepala ni tunggu.” Dia muncung. Tapi huluran lelaki itu disambut juga.

            Lelaki bernama Dhiyaulhaq ini tergelak kecil. “Dari office tadi. Tak sedar dah pukul empat. Sorry eh?” Bersahaja dia menutur maaf. Dibibirnya tetap tayang senyum.

            “Aik.. Sempat lagi beli ni?” Soal Kartika sambil tayang aiskrim ditangan. Dia dengan aiskrim memang tak dapat dipisahkan. Sebut ajelah nama aiskrim, mesti dia tahu.

            “Mestilah. Memang dah spare awal-awal dalam kereta.” Gelak lagi. Lelaki ini memang terkenal dengan sifat suka gelaknya.

            Ternaik sebelah kening Kartika. Memang dah spare dalam kereta? Aik, tak cair pula aiskrim ni bertapa lama-lama dalam kereta?

            “Hmm, Tika.. Awak dah ada perancangan jangka panjang?” Soal Dhiyaulhaq.

            Kartika toleh Dhiyaulhaq. “Perancangan jangka panjang?” Soalnya kembali.

            “Ha’ah.” Lelaki itu angguk. “Contohnya macam, lepas ni awak nak buat apa. Pergi mana. Kahwin dengan siapa..” Ayatnya sengaja dimatikan. Dia jeling kekasihnya disebelah.

            Kartika senyum. Kahwin dengan siapa erk? “Habis buat apa awak bertunang dengan saya, kalau akhirnya saya kena kahwin dengan orang lain?” Dah mula aura membebel macam mak nenek Kartika datang.

            Dhiyaulhaq senyum sebelum gelak.

            “Awak ni tak penat ke gelak?” Kartika musykil. Memang masa mama dia melahirkan dia, mama dia gelak eh? Tak rasa sakit?

            “Sayang..”

            “Siapa izinkan awak panggil saya, sayang?!” Keras nada yang keluar dari bibir Kartika. Langsung matikan ayat yang mahu diucapkan Dhiyaulhaq.

            Dhiyaulhaq gosok telinga. Adeh! “Sorry..” Dia senyum walaupun rasa bersalah. Dia dah langgar janji pada kekasihnya. Sepatutnya panggilan sayang itu hanya akan wujud bila mereka sudah halal nanti.

            “Okay.. Lepasni, kalau awak buat lagi, saya tak nak kawan awak lagi dah.” Aiskrim vanila dijilatnya.

            Dhiyaulhaq senyum. Kartika kembali bersuara, “Apa perancangan awak?” Soalnya.

            “Huh?” Dhiyaulhaq blur.

            Kartika senyum. Dia suka bila lelaki ini tayang wajah blurnya. Sangat comel, okeh. “Perancangan jangka panjang awak.” Terang Kartika.

            “Ohh..” Dhiyaulhaq angguk. Dia serahkan kon aiskrimnya pada Kartika untuk sementara. Lepastu dia seluk dalam sling bag miliknya dan keluarkan sehelai kertas berwarna merah hati. Kertas itu dia serahkan pada Kartika. “Ini.. Saya dah listkan.” Senyum.

            Dhiyaulhaq ambil semula dua kon aiskrim ditangan kekasihnya. Memberi ruang pada gadis itu membaca apa yang ditulisnya. Dia sambung menikmati aiskrim ditangan yang semakin cair.

            Kartika tekun membaca senarai yang dibuat lelaki ini.

Perancangan Jangka Panjang Dhiyaulhaq Muhammad Harris

            Dia baca tajuk diatas kertas itu. Tersenyum dia sekejap. Lelaki ni memang berpandangan jauh betullah. Aku sendiri pun tak pernah terfikir nak buat list macam ni. Sebab prinsip hidup aku, just follow the flow.

Dapatkan degree bagi undang-undang.
Dapatkan kerja.
Beli rumah.
Beli kereta.
Kumpul duit.
Bertunang.
Kumpul duit lagi.
Bernikah dengan Tika.
Honeymoon dengan Tika.
Kumpul duit lagi.
Bercuti dengan Tika.
Make a million of Dhiyaulhaq and Kartika’s junior. Hehee
Sehidup semati sebapa seibu senenek seatuk dengan Tika.
Berkongsi kubur yang sama.
Life happy hereafter.


            Terbatuk-batuk Kartika bila sudah habiskan baca perancangan jangka panjang Dhiyaulhaq. Membulat mata dia pandang lelaki ini. Hanya satu ayat yang keluar dibibirnya, “Gila!”

            “Apa yang gilanya?” Tanya Dhiyaulhaq. Aiskrim vanila ditangan diserahkan pada Kartika.

            “Gila. Ini macam saya pun termasuk sama aje.”

            Dhiyaulhaq gelak. “Tapi okaykan saya punya perancangan? Err, I mean perancangan kita yang saya buat?” Dia sengih dihujung ayat.

            Kartika hembus nafas. “Okay tu okay tapi..”

            “Tapi?” Dhiyaulhaq ikut nada yang sama dengan Kartika. Penasaran mahu tahu.

            “Nombor empat dari bawah tu, saya tak setuju.”

            Dhiyaulhaq pandang balik senarai yang dia buat. Nombor empat dari bawah? “Make a million of Dhiyaulhaq and Kartika’s junior?” Kartika angguk dua kali.

            “But why, huh?

            “Gila apa? Million kot. Siapa ajelah yang boleh pregnant sampai bermillion macam tu? Memang masuk book world of record kot.

            Dhiyaulhaq gelak. “Ada aje.”

            Kartika pandang lelaki disebelahnya. “Siapa?” Dia naikkan keningnya.

            “Kitalah!” Gelak lagi sebelum dia bangkita berlari anak tinggalkan Kartika dibelakang.

            “Dhiyaulhaq!” Kat situ juga Kartika menjerit sebelum bangkit. Aiskrim ditangan dia lempar masuk dalam tasik dihadapannya. Buka langkah nak kejar Dhiyaulhaq. Memang nak kena julap lelaki ni aku rasa.


      “Haq.. Macam mana dengan perancangan jangka panjang awak ni? Terkubur sampai sini sahajakah?” Dia menyoal sendiri.

            Kartika mengeluh. Dia lipat kembali kertas itu lalu disimpan dalam kotak. Di bawah timbunan gambar dan kertas itu, ada satu glob salji. Glob salji tu dia ambil lantas digoncangkannya beberapa kali. Bibirnya koyak senyuman bila salji-salji dalam glob itu bertebaran. Cantik. Glob ini dihadiahkan Dhiyaulhaq padanya. Dhiyaulhaq membeli glob ini sewaktu dia bersama keluarga bercuti di Maldives. Ada juga lelaki itu mengajaknya supaya bercuti bersama, tapi dia menolak dengan alasan dia segan dengan ibu bapa lelaki itu. Meskipun kedua keluarga mereka sudah saling mengenali, rasa segan masih wujud dalam hati selagi mereka belum disatukan.

            Kartika tekan satu butang dibawah glob salji itu. Dia tersenyum lagi bila sesuatu keluar dari dalam glob salji. Gambar sewaktu mereka berdua graduate empat tahun lepas. Dalam gambar itu, Dhiyaulhaq tengah tersenyum senang sambil menayangkan skop ijazahnya manakala Kartika tengah tersenyum bersama jambangan bunga ditangan.

            “Aku rindu dia.” Bisik Kartika lagi.

            Selalunya, jika dia merindui lelaki dalam gambar itu, saat itu juga dia menghubungi lelaki itu. Meskipun kerinduan itu tidak dia ucapkan, tapi sebaik sahaja mendengar suara lelaki itu, kerinduannya sedikit sebanyak terubat juga.

            Tapi sekarang, bagaimana dia harus menyatakan kerinduannya pada lelaki itu? Nak telefon? Bagaimana? Talian telefon pun tidak dapat mengesan isyarat lelaki itu sekarang ini. Jauh benar lelaki itu pergi tinggalkannya. Tiada apa yang bisa dia lakukan saat dan selepas ini disaat dia merindui lelaki itu selain menyedekahkan al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran buat Dhiyaulhaq.

            Glob salji itu dia masukkan kembali dalam kotak. Satu baldu berwarna biru dia ambil pula. Baldu biru itu dia buka. Ingat lagi Kartika disaat lelaki ini menyerahkan baldu biru ini padanya.


            “Tika.. Pergi tengok mailbox sekejap. Ibu malaslah nak keluar.” Jerit ibu dari dapur. Kartika capai tudung segeranya dibelakang pintu. Nasib baiklah dia memang pakai lengan panjang sekarang ni. Kalau tak, dah jadi satu kerja nak naik atas balik sarung cardigen.

            Dia berjalan ke arah peti surat selepas sarung seliparnya. Pintu peti surat dibuka. Ternaik keningnya bila tengok ada satu kotak sederhana besar dalam peti surat tu.

            “Dari mana kotak ni masuk? Lubang mailbox ni kecil aje.” Dia pelik. Tapi tetap dia ambil juga bersama sampul surat yang lain. Ada lima surat kesemuanya. Dua untuk ayah, lagi tiga untuk abang. Dan kotak itu, untuk dia? Siapa yang kasi?

            Dia pandang keliling. Kotlah ada orang kat situ. Tapi dia tak jumpa. Bahu dijungkit. Kelima-lima surat itu dia masukkan kembali dalam peti surat. Kotak sederhana besar itu lebih menarik perhatiannya lantas dibuka.

            Melopong mulutnya bila buka isi baldu biru itu. Ada rantai dan juga dua bentuk cincin. “Siapa punya ni? Takkan untuk aku kot? Salah oranglah ni. Mungkin Kartika lain agaknya.” Gumamnya perlahan.

            Telefon dikocek seluar yang berdering dia keluarkan. Bibir automatik tersenyum bila baca nama yang tertera diskrin. Haq!

            “Hello assalamualaikum.” Ceria sahaja suaranya.

            “Waalaikumussalam. Tengah buat apa?” Soalan tipikal Dhiyaulhaq bila menghubunginya. Tengah buat apa? Dah makan ke belum? Dah mandi? Dah solat? Dah buang air aje yang dia tak tanya lagi buat masa sekarang ni.. hahaa..

            “Tengah buka.. Oh ya. Awak.. Saya tak tahulah siapa yang menggedik bagi saya benda ni.” Langsung dia cerita. Kartika dengan Dhiyaulhaq memang tak punya rahsia. Masing-masing diceritakan. Sampaikan anak cicak jiran sebelah yang mati pun dia ceritakan pada Dhiyaulhaq!

            “Benda apa?”

            “Rantai dengan cincin. Cincin couple lagi.”

            “Ohh ya? Awak nak tahu tak siapa yang menggedik bagi kat awak?” Soal Dhiyaulhaq.

            “Awak tahu? Siapa?”

            “Cer pusing belakang.” Suruh Dhiyaulhaq. Dan Kartika menoleh ke belakang. Berdiri Dhiyaulhaq di laman kolam rumahnya. Siap tersengih sambil lambai tangan lagi. Yeahh.. Sebelum dia gelak kecil. Gelak dengan lelaki itu memang dah rapat. Sampaikan Kartika yang cuba jadi orang ketiga nak pisahkan pun tak jalan jugak.

            “Hah. Itulah orang yang menggedik bagi awak benda tu. Kenal tak?”

            Kartika gelak sebelum menggeleng. Apa kejadahlah lelaki ni buat macam ni? Dia ambil surat yang diletakkan dalam peti surat sebelum berjalan mendekati Dhiyaulhaq. Talian telefon sudah lelaki itu tamatkan.

            “Sejak bila ada kat sini?” Tanya Kartika.

            “Setengah jam yang lepas.” Dhiyaulhaq duduk di bangku yang disediakan.

            “Macam mana boleh masuk?” Kan pintu pagar berkunci.

            “Berkat pertolongan bakal mak mertualah. Say hye to my mom-in-law.” Sambil tunjuk pada Puan Yasmin yang tengah memetik bunga dihalaman belakang rumah. Puan Yasmin senyum pada anak perempuannya sebelum layang flying kiss.

            Kartika senyum. Ada-ada sahajalah. Sejak bila pula dua manusia ni berkomplot? Patutlah tadi ibu bukan main beria-ia cakap malas. Ada taugeh disebalik mee hoon rupanya. Kartika ikut sama duduk dikerusi itu. “So, apa motif bagi benda ni?”

            Dhiyaulhaq jungkit bahu. HTC ditangan dia pusing-pusingkan atas meja. “Hadiah.”

            “Hadiah?”

            “Hmm, ya. Hadiah untuk hari pernikahan kita nanti. Minggu depan ajekan.” Dhiyaulhaq senyum.

            “I’m still don’t get it.

            Dhiyaulhaq senyum lagi. “Hadiah sebab sudi jadi isteri saya. Get it?

            Kartika senyum. “Bagi lepas kahwin nanti, bolehkan?”

            “Takut tak sempat.”

            Kartika kerut dahi. What he mean by, takut tak sempat? “Tak sempat apanya pula?” Dia senyum. “Masa kita bersama still panjang lagi tau.”

            Dhiyaulhaq angguk. “Ya, I know. Tapi just, sesaje nak kasi awal-awal. So how.. Suka tak?”

            Baldu biru yang masih terbuka Kartika pandang. Ada seutas rantai dan dua bentuk cincin. Cantik dan simple. Dia memang faham sesangat dengan perangai Dhiyaulhaq yang simple tu. Sampaikan pernah sekali Dhiyaulhaq cakap, nak pergi kerja pakai t-shirt biasa dengan seluar jean. Nak bertopi lagi tu yang tak boleh tahan. Memang simple gegilerlah lelaki ini.

            “Suka. Sangat. Tapi.. Kenapa cincin ada dua?”

            “Satu untuk awak and one for me. If you don’t mind, saya ingat yang biar kita sarung cincin ni masa akad nikah nanti, boleh?” Teratur ayat yang meluncur keluar dari bibir Dhiyaulhaq.

            Kartika senyum. Dia angguk tanpa fikir panjang. “Saya okay aje. Cincin ni simple. Tak sarat sangat dengan berlian bagai. I like it. Pandai awak pilih.” Tapi senyumannya mati kemudiannya. “Tapi kenapa awak beli cincin ni tak ajak saya? Atleast, saya boleh pilihkan untuk awak punya.” Kartika tak puas hati.

            “Sorry.” Dhiyaulhaq garu kepala. “Lagipun saya beli cincin ni, online aje.”

            “What?!


      Kartika gelak. Banyaklah dia punya beli cincin online. Kalau bukan sebab mama dia yang beritahu, lelaki itu sanggup meredah hutan belantara benua asia semata-mata nak beli cincin dan rantai ni, memang sampai ke sudah dia kena tipu dengan lelaki itu. Ada sahaja perangai lelaki tu nak usik dia.

            Gelaknya bertukar jadi satu keluhan berat. Takut tak sempat, huh? Patutlah dia cakap macam tu. Seolah-olah dia dapat rasa ‘tak sempat’ itu. Belum sempat lagi dia menyarungkan cincin itu dijari manis Dhiyaulhaq, lelaki itu sudah terlebih dahulu melaksanakan tak sempatnya.

            “Saya rindu awak..” Diulang lagi bisikan yang sama.

***

            Kuntuman bunga ditangan dia letakkan diatas tanah yang berbukit itu. Batu nisan diusapnya lembut. Nama Dhiyaulhaq yang tertulis di batu nisan itu direnung. Orang cakap, jangan baca nama-nama di kubur, nanti jadi pelupa. Ahh! Biarlah dia jadi pelupa kalau sebab pelupanya berpunca dari Dhiyaulhaq.

            Petang yang redup lagi nyaman itu, dia datang ke sini mahu menziarahi makam lelaki yang sudah mendapat tempat dalam hatinya. Mereka tidak kenal lama sebelum ditunangkan dahulu. Dan hanya ambil masa enam bulan ke setahun untuk disatukan. Tapi siapa sangka, belum pun sempat disatukan, tubuh lelaki itu sudah bersatu dengan tanah terlebih dahulu.

            “Awak.. Saya tak perlukan masa yang lama untuk mencintai awak. Hanya sekejap sahaja masa yang saya peruntukkan untuk mencintai dan menyayangi awak. Tahu tak macam mana berkecainya hati saya bila dengar abang saya cakap, kereta yang awak pandu kemalangan dirempuh lori? Tahu tak betapa siksanya buat kali pertama air mata saya mengalir kerana awak? Tahu tak betapa hancurnya jiwa saya bila nampak baju nikah yang awak pakai dah cemar dengan darah merah awak? Tahu tak betapa luluhnya saya bila nampak awak disemadikan tanpa sempat awak ucap selamat tinggal?” Air mata yang mengalir dipipi Kartika hiraukan. Sungguh dia tiada daya mahu menyeka air mata itu.

            “Saya rindu awak.. Rindu sangat-sangat.” Seakan berbisik, Kartika bersuara.

            Teringat waktu dahulu. Disaat nenek yang paling Kartika sayangi pergi menghadap Illahi buat selama-lamanya. Waktu itu, Dhiyaulhaq ada bersamanya. Lelaki itu bersama abang Kartika turun ke liang lahad mahu menurunkan jenazah neneknya. Dan disaat itulah Kartika menangis tanpa henti.

            Tapi dengan hanya satu ayat yang terluah dari bibir Dhiyaulhaq buatkan air mata Kartika berhenti mengalir. Hanya satu ayat, “Kalau sayang nenek, tak nak buat nenek sengsara di Sana, jangan menangis. Redhakan hati, sedekah al-Fatihah buat nenek. Insya-Allah, nenek akan tersenyum.”

            Pantas air matanya diseka. Betul tu.. Dan itu juga sama dengan keadaannya sekarang ini. Kalau sayangkan Haq, tak nak buat Haq sengsara di Sana, jangan menangis. Redhakan hati, sedekahkan al-Fatihah buat Haq. Insya-Allah, Haq akan tersenyum melihat dirinya disini.

            Hati.. Redhalah kau dengan pemergian Haq.

            Haq.. Kalau ada jodoh, kita berjumpa di Sana. Tika rindu Haq sangat-sangat.

            Jari yang berinai merah, ditadahkan. Menyedekahkah sekalung al-Fatihah buat lelaki yang dicintainya juga buat nenek yang sudah kembali kerahmatullah. Semoga kalian tenang di sana. Jangan lupakan Tika disini ya..



P/s : Bila ulang baca balik, baru ingat yang jalan cerita cerpen ni nak dekat sama dengan lagu Saat Terakhir – ST12.. Huhuu.. Tapi serius, memang tak tahu langsung yang cerpen ni nak dekat sama dengan lagu tu, masa tengah create cerpen ni..


Cerpen ini hanya ambil masa satu malam dan selama tiga jam sahaja untuk disiapkan.. Okeh, sesaje nak beritahu benda ni.. Hahahaa

2 comments:

  1. Best...
    Tahniah..
    bila baca Rasa nak menangis pulak...

    ReplyDelete

Pendapat anda sangat saya hargai