"Setiap cerita yang dikarang di dalam blog ini adalah hak milik penulis. Sebarang ciplak adalah tidak dibenarkan. Terima kasih."

Search This Blog

Sunday, May 31, 2015

Truth or Dare -24-




“Ai.. Dah tempah orang nak corakkan inai nanti?” Lembut pertanyaan Puan Afizah yang tengah menggoreng ayam di kuali.

            Aireen yang tengah kupas bawang putih mendongak. “Tak payah tempah, Ma. Anak Mama yang sorang lagi boleh buat.” Sambil jeling Alang yang tengah potong sayur di hadapan Aireen. Tersenyum aje gadis tu bila namanya disebut Aireen.

            “Serius? Bila kamu belajar?” Puan Afizah dah pandang anak perempuannya.

            “Masa studylah, Ma. Kawan Alang yang ajarkan. Lama juga berguru dengan dia.” Lembut aje Adibah membalas. Puan Afizah angguk. Baguslah kalau macam tu. Nanti sesiapa kawin, bolehlah gunakan khidmat anaknya ni kalau mahukan malam berinai.

            “Hmm, Mama..” Meleret aje Aireen panggil Puan Afizah.

            Puan Afizah yang tengah letakkan gorengannya atas meja menoleh. “Suara ayu macam ni, nak minta apa?” Senyum. Faham sangat dengan anaknya yang seorang ni. Asal suara lembut terkepit-kepit ni, adalah tu yang dia nak minta.

            “Hmm, Ai ingatkan.. Kek kahwin nanti, biar ajelah Ai yang buat. Boleh tak, Ma?” Tanyanya. Takut kalau mama tak izinkan.

            “Kek kan dah tempah, sayang. Tinggal nak ambil aje nanti.”

            “Kek tu biar letak masa majlis kat rumah belah lelaki ajelah. Yang belah kita, biar Ai yang buat. Boleh tak, Ma?” Soalnya lagi.

            Puan Afizah berfikir seketika.

            “Biar ajelah Ma raja sehari ni nak buat. Bukannya selalu kita dapat tengok pengantin yang buat kek sendiri.” Sokong Adibah dari belakang. Dia kenyit mata pada Aireen. Aireen senyum dengan kenyitan tu. Nasib ada penyokong.

            “Hmm, biar Mama bincang dengan Ayah dulu macam mana.”

            “Tak payah bincang, Ma. Ayah sendiri setuju.” Datang suara dari pintu masuk ke dapur. Ada Anaqi dengan Encik Aidil yang tersenyum.

            “Ayah tak cakap apa pun.” Ujar Encik Aidil. Memandai aje anak teruna dia lagi seorang ni mereka-reka cerita.

            Anaqi sengih. Ingat ayah setuju tadi. Sebab nampak Ayah senyum masa Aireen utarakan pendapatnya pada Mama.

            Aireen bangkit. Bersama tangan yang masih belum dicuci bersih, dia mendekati Encik Aidil. “Alahhh.. Bolehlah, Ayah. Membazirlah kalau tempah kek. Mahal pulak tu.” Bahu Ayahnya dipeluk lembut.

            Encik Aidil senyum tiba-tiba setelah lama menyepi. “Ikut suka kamulah.”

            “Yeayyy..” Aireen jerit girang. Nasib baiklah dia punya keluarga yang memahami. Alhamdulillah untuk itu.

            “Anak sulung dengan paling bongsu Ayah dengan Mama dah kahwin dah. Yang tengah-tengah ni, sampai bila nak membujang?” Encik Aidil dah cekak pinggang.

            Aireen gelak. Puan Afizah tersenyum. Sesekali dia menggeleng kepala bila nampak Anaqi dengan Adibah siap buat pakatan nak berlari dari ruang dapur ni. Bila wujudkan aje bab kahwin, mesti dua manusia tu lari. Hailah, kahwin aje pun.


“MAMA.. Ai takutlah.” Rengek Aireen malam tu. Siap peluk Puan Afizah lagi yang baru aje nak terlelap. Encik Aidil dah lama tidur lepas solat Isyak tadi. Ayah memang macam tu. Lepas aje solat Isyak, ayah akan cari tempat beradunya dan terus lelapkan mata.

            “Takut apa ni, sayang?” Lembut sekali nada Mama. Siap balas pelukan Aireen lagi. Nak tergelak pun ada dia yang baru aje nak terlelap tadi dikejutkan dengan kedatangan anaknya di dalam bilik. Siap cakap nak tidur sekali dengan Ayah dan Mama yang tak boleh blah tu.

            “Ai takut kalau Ai salah buat pilihan.”

            Puan Afizah senyum. Faham dengan gelodak hati anaknya. Dia pun pernah rasa macam tu masa nak bernikah dengan suaminya. “Buat istikharah lagi sekali, sayang. Buat solat hajat juga. Semoga Allah tetapkan pilihan hati Ai. Hmm..”

            Aireen angguk. Dia dah buat istikharah sebelum ni. Dan sekarang, dia rasa takut nak buat istikharah lagi sekali. Takut andai jawapan istikharahnya yang dulu dan selepas ni akan berbeza.

            “Kalau Ai tak mampu jadi isteri yang solehah macam mana, Ma?” Soalnya lagi. Dia risau akan hal yang itu juga. Takut dia tak mampu jalankan tanggungjawab yang selayaknya sebagai seorang isteri.

            Puan Afizah usap lembut kepala anaknya. “Jangan cakap macam tu, sayang. Buat apa yang Ai termampu. Nak jadi isteri solehah ni, tak semestinya kena jalankan semua benda dalam rumah tangga. Apa yang Ai rasa Ai boleh buat, Ai buat aje. Apa yang tak boleh, Ai minta tolong Fa. Hmm..”

            “Mama, betul ke Ai nak jadi isteri orang dah? Ai macam tak percayalah, Ma.”

            Puan Afizah tergelak dengan soalan baru anaknya. Rambut panjang mengurai anaknya dielus. Aireen memang ikut genetik keluarganya. Rambut keperangan. “Itulah.. Dah besar anak Mama ni. Dulu tengok hingus pun tak kering lagi. Selekeh aje.” Usik Puan Afizah.

            Aireen dah masamkan wajahnya. “Apa Mama ni.. Part yang selekeh-selekeh tu usahlah dikenang. Buat malu aje.”

            Puan Afizah gelak. Antara ramai-ramai anaknya, hanya Aireen aje yang paling rapat dengannya. Mungkin sebab, hanya Aireen yang tak pernah tinggalkannya masa belajar. Anak-anaknya yang lain, asal belajar aje mesti di luar negara. Berbeza bagi Aireen. Kata anak gadisnya ini, lebih baik belajar di Malaysia aje. Senang nak berkomunikasi. Nak cari pasangan kat sini pun senang jugak!

            “Mama.. Mama rasa, Fawwaz tu sesuai tak jadi suami Ai?”

            Puan Afizah senyum. “Bukan soalan tu yang Ai patut tanya,” Tangannya masih lagi mengelus rambut anaknya.

            “Habistu?” Tanya Aireen bingung.

            “Sebetulnya, Ai tu sesuai tak jadi isteri Fa? Layak tak Ai nak jadi isteri Fa?” Soalan dari bibir Puan Afizah tu buatkan Aireen terfikir. Betul juga apa yang Mama cakap. Sesuaikah aku jadi isteri Fawwaz? Layakkah aku?

No comments:

Post a Comment

Buah fikiran anda amatlah di hargai.