Hari ni hari Ahad. Di mana hari yang menentukan segalanya. Hari dimana along akan dikenalkan dengan bakal isterinya. Pagi-pagi lagi, dia dan adiknya sudah berjoging di taman yang berdekatan dengan rumah mereka. Kata along, mahu menghilangkan gementar dalam diri sebelum bertemu dengan calon kedua orang tuanya. Macam-macamlah!
Sekarang, mereka sedang menunggu ketibaan pihak sebelah sana yang akan bersama-sama menjamu makan tengahari disini. Segalanya sudah diaturkan Puan Mastura dan Encik Khalid sendiri.
Pesan mereka juga, along akan diberikan tempoh selama sebulan untuk mengenali hati budi masing-masing sebelum mereka akan ditunangkan sebulan selepasnya. Kemudian, terpulang pada pihak sebelah sana bila mahu menetapkan tarikh pernikahan kedua pasangan itu.
Bunyi loceng kedengaran. Meera pandang alongnya yang tenang menonton televisyen bersama ayah di ruang tamu.
“Meera.. pergi buka pintu.” Suruh Encik Khalid lembut.
“Baik bos.” Meera berjalan ke pintu utama rumah. Sebelum tu, sempat dia membelek dirinya pada pantulan cermin di ruang tamu.
“Dah cun dah tu.” Perli Niezam. Meera menjelirkan lidahnya.
Suis pintu pagar ditekan sekali sebelum melangkah keluar rumah. Ada sebiji kereta berwarna silver metalik terpakir di hadapan pintu pagar rumahnya. Senyuman di tayangkan terlebih awal sebelum kakinya berhenti di pintu pagar.
“Assalamualaikum..” Seorang lelaki yang dikira sebaya dengan ayahnya memberi salam.
“Waalaikumussalam.. jemput masuk.” Manis Meera menuturkan ayat. Disalamnya seorang wanita yang berjalan kearahnya. Enam orang kesemuanya yang hadir pada tengahari ahad itu.
“Maaf kami lambat.” Ucap seorang lelaki yang segak menggayakan baju kemeja berwarna biru.
“Tak apalah. Janji datang sini sudah.”
“Assalamualaikum Haji. Datang jugak kau kat rumah aku ni.” Encik Khalid datang dan terus bersalaman dan berpelukan dengan lelaki yang memberi salam tadi. Dah naik haji rupanya. Fikir Meera.
“Jemput masuk..” Suruh Encik Khalid sambil menepuk beberapa kali bahu kanan kawannya. Lagak macam dah lama tak jumpa aje.
Meera berjalan di belakang sekali. Ramai betul keluarga bakal kakak ipar aku ni. Ni baru tengok keluarga asas, belum tengok dia orang punya keluarga kembangan lagi. Mana tahu tak cukup sepuluh lori tangki minyak nak muatkan keluarga kembangan mereka!
Masuk sahaja ke dalam rumah, sekali lagi Meera menekan suis pintu pagar mahu menutup pagar besar rumahnya secara automatik. Kemudian, dia terus berjalan ke dapur mahu membantu ibunya di sana.
“Meera.. bancuhkan air. Ibu ke depan layan tetamu.” Pinta Puan Mastura dan Meera hanya mengikuti setiap arahan dari ibu tercintanya.
Meera meletakkan lima sudu makan gula dan diletakkan ke dalam jag. Kemudian, air panas dituangkan ke dalam jag tadi sebelum digaulkan. Dua uncang teh dimasukkan dan ditutup jag tersebut lantas diletakkan di atas dulang. Sembilan biji gelas di telakungkan di tepi jag sebelum mendulangnya dan dihantar ke ruang tamu.
Bunyi tawa yang kedengaran membuatkan Meera tersenyum manis. Sudah lama rumah ini tidak menerima kunjungan tetamu yang ramai sebegini. Dulang diletakkan di atas meja yang diletakkan di tengah-tengah kelompok tetamu.
“Jemput minum.” Tuturnya lembut. Ye lah, takkan nak cakap kasar kot. Nama Encik Khalid dan Puan Mastura harus dijaganya sebagai satu-satunya anak perempuan.
“ASSALAMUALAIKUM..”
Lamunannya serta-merta hilang apabila dikejutkan dengan salam itu. Dipandangnya ke sebelah kiri. Berdiri seorang lelaki yang segak tadi.
“Waalaikumussalam..” Jawabnya lembut. Senyuman diukirkan.
“Boleh saya duduk sini?” Tanyanya.
Meera pandang ke tempat duduk kosong disebelah kirinya. Dia mengengsot ke kanan sedikit mahu menjarakkan tubuh mereka.
“Duduklah.” Lelaki itu terus melabuhkan duduk di tempat kosong itu.
Satu minit.. dua minit.. tiga minit.. masih belum ada tanda-tanda kedua-dua manusia berlainan jantina ini mahu memulakan bicara. Meera lebih memilih mahu memandang ke hadapan. Memandang pemandangan indah kolam renang rumahnya. Air yang membiru kelihatan cantik pada pandangan kedua matanya.
“Muka saya ni tak cukup kacak ke sampai awak tak nak pandang?”
Tersentak Meera dengan pertanyaan itu, atau lebih tepat keperlian itu. Pantas dipandang wajah lelaki disebelahnya. Hanya sebentar cuma sebelum kembali memandang kolam renang.
“Nameera Qaleesha..”
Sekali lagi Meera memandang lelaki ini. Dahi dikerutkan. Mana dia tahu nama penuh aku? Kad pengenalan aku tercicir di mana-mana ke dan dia menjumpainya? Janganlah! Dah lah kurun ke berapa entah gambar dalam kad pengenalan aku tu.
“Siapa tu?” Tanya Meera berpura-pura tak tahu.
“Nama sendiri pun tak tahu, ke?” Meera mengeluh.
“Mana awak tahu nama penuh saya?”
Lelaki itu tersenyum manis. Dipandang wajah itu dengan dahi yang berkerut.
“Kau tak kenal aku ke Meera?” Meera pandang mata lelaki itu tajam. Dari ber‘saya-awak’ kini ber‘kau-aku’ pulak? Ditatap wajah lelaki kacak ini sepuas hati. Sambil itu, otak memproses di mana dia pernah melihat lelaki ini.
“Tak. Kau siapa?” Tanyanya akhirnya apabila otaknya gagal mengesan wajah lelaki ini.
“Kau mesti ingat parut ni, bukan?” Diselak bajunya dan ditunjukkan segaris parut panjang di bahu kanannya.
Meera pandang parut itu. Parut tu.. pantas dia menatap wajah lelaki ini. “Kau.. kau ni?”
Lelaki itu menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.
“Ya Allah..” Meera meraup wajahnya berkali-kali. Dibetulkan duduknya supaya dia selesa memandang lelaki ini.
“Is it true? Aku tak mimpi, kan?” Ditampar kedua pipinya. Sakit!
“Kau tak mimpi, Meera. Ni aku..”
“Macam mana aku tak perasan kau?”
“Mana nak perasan aku yang kacak ni.” Meera mencebik.
Ya Allah. Akhirnya, Kau pertemukan jugak aku dengan kawan lama aku. Syukur Meera dalam hati. Sudah lama dia mencari lelaki ini. Semenjak lelaki ini mengikuti keluarganya ke luar negara, mereka terus kehilangan jejak. Sudah lapan tahun perkara itu berlalu, dan kini mereka dipertemukan kembali. Syukur sangat-sangat.
“Mana kau pergi selama ni? Puas aku cari kau.”
“Aku tak pergi mana. Aku ada aje dalam hati kau.” Spontan ayat itu meluncur keluar dari bibir merah lelaki itu membuatkan Meera sekali lagi mencebik. Lelaki ini memang kuat betul perasannya.
“Kuat perasan kau tu bila nak hilang?”
“Sepanjang lapan tahun kita tak jumpa ni, dia hilang. Tapi bila jumpa kau, terus muncul balik. Aku pun tak tahu kenapa.”
“Apa kena mengena kuat perasan kau tu dengan aku, pulak? Hishh..”
Lelaki itu ketawa. Diikuti Meera akhirnya. Terima kasih Ya Allah!
“Adik.. jom masuk makan.” Niezam keluar memanggil adiknya. Tapi dia pelik apabila melihat adiknya yang seronok ketawa bersama lelaki ini atau lebih tepat bakal adik iparnya yang entah jadi atau tidak. Sekarang ini, hanya satu perkara yang bermain-main dan melemaskan neurone dalam otaknya. Kenapa perempuan itu perlu muncul sekali lagi dalam hidupnya?
Meera bangkit. Dipandang alongnya yang berwajah lain dari yang lain. Dah kenapa dia ni? “Along?” Panggil Meera.
“Kenapa?”
“Ingat dia lagi tak?”
Niezam pandang lelaki disebelah adiknya. Matanya dikecilkan mahu mengecam lelaki ini.
“Tak ingat sangatlah.”
“Tak ingat sangat ke, tak ingat langsung?”
“Langsung tak ingatlah senang. Siapa dia?”
“Syafiq. Syafiq Dhiyaul Haq. Kawan adik masa sekolah menengah.”
“Syafiq Dhiyaul Haq?” Dipandang atas bawah lelaki yang bernama Syafiq ini.
“Ohh.. Syafiq yang buatkan adik nangis tak hengad dunia masa dia pindah tu?” Laju ayat itu meluncur keluar dari mulut Niezam apabila teringat kejadian yang berlaku hampir lapan tahun yang lepas. Itulah antara kejadian yang dia tak boleh lupakan.
“Apa along ni..” Disiku alongnya. Meera menundukkan wajahnya apabila Syafiq dan alongnya beradu ketawa bersama-sama. Merah habis wajahnya.
“Ada orang malu..” Syafiq menyakat.
Tanpa membuang masa, Meera terus melangkah masuk ke dalam rumah. Membiarkan dua lelaki di luar rumah ketawa sepuas-puasnya. Ketawalah sampai pecah perut!
MEERA melabuhkan duduk di hadapan Encik Khalid. Senyuman dihadiahkan buat ayah tercinta apabila Encik Khalid memandangnya.
“Ada apa?” Tanya Encik Khalid. Sudah masak dengan perangai anak perempuannya. Mesti nak minta sesuatu kalau duk tersengih-sengih depannya.
“Err, Meera nak buat satu permintaan boleh?”
“Apanya tu?”
“Meera ingat nak bawa anak murid Meera melawat ladang strawberi ayah dekat Cameron sana.” Jelasnya. Sudah lama dia bercadang hal sedemikian. Tetapi baru kini dia bisa menoktahkan segalanya apa yang bermain di mindanya.
“Elok sangatlah tu. Kita pergi sana sama-sama. Lagipun, along pun tengah cuti kan sekarang ni.”
Meera melepaskan nafas lega apabila cadangannya diterima Encik Khalid dengan besar hati. Alhamdulillah.
“Bila tu?”
“Dalam minggu ni jugak.”
“Kenapa buat keputusan tak beritahu ayah dulu? Kalau beritahu lebih awal, sempat ayah sewa chalet untuk dia orang.”
“Err, Meera minta maaf ayah. Meera ingatkan biar Meera sendiri yang cari.”
“Dah jumpa?”
Meera menundukkan wajahnya. “Belum.” Kepala digelengkan.
“Kenapa tak cari dari awal?”
Meera mengaru telinga kanannya. “Bukan tak cari, dari hari tu lagi Meera cuba cari tapi tetap tak jumpa-jumpa jugak.”
“Hmm tak apalah. Nanti ayah tanya kawan ayah, mana tahu ada chalet kosong kat tempat dia.”
Meera mendongak. Mata bercahaya. “Betul ni, yah?”
“Ye lah. Apa guna jadi ayah kalau tak boleh nak bantu anak dia?”
Meera mengukirkan senyuman. Dia bangkit dan terus duduk disebelah ayahnya. Dipeluk bahu Encik Khalid sebelum melepaskan ciuman di pipi kiri ayahnya. “Terima kasih, yah.”
“Berapa orang semuanya?”
“Murid Meera ada dua puluh orang, lepastu Meera ingat nak ajak Pyka dengan Syafiq sekali. Masuk keluarga kita, ada dua puluh enam semua sekali.”
“Okay. Esok ayah setkan semuanya.”
“Thanks.. thanks.. thanks..” Berkali-kali diucapkan ucapan terima kasih itu pada si ayah.
DANEAL membaca tulisan yang dicetak di atas kertas ditangannya. Kertas ini diberikan Nik sebentar tadi. Bukan main ceria wajah Nik apabila menyerahkan kertas itu kepadanya.
“Lawatan sambil belajar ke Cameron Highland?”
“A’ah.. uncle bagi Nik pergi kan?”
Daneal berfikir-fikir sendiri. Anak saudara aku nak pergi Cameron? Boleh percaya ke ni? Dipandang wajah Nik yang ceria dan berseri. “Hmm, nanti uncle bincang dengan nenek ngan atuk ek?”
“Okay.”
“Dah, pergi tidur.”
Nik berlari memanjat anak tangga. Daneal pula terus ke ruang tamu mahu berbincang dengan kedua orang tuanya.
“Ummi.. Abi..”
“Ada apa?”
“Neal dapat surat kebenaran dari tadika Nik. Dia orang nak buat lawatan.”
“Kat mana?”
“Cameron.”
“Bila?”
“Selasa sampai khamis ni.”
“Tiga hari?”
“Hmm.. ni yang nak minta cadangan Ummi dengan Abi. Kasi ke tak?”
Puan Aida dan Encik Daud berpandangan. “Eloklah tu. Diakan belum pernah jejak Cameron lagi.”
“Tapi Neal risaulah.. kang kalau jadi apa-apa kat dia, apa Neal nak jawab dengan akak?”
“Jangan fikir bukan-bukan. Tak baik, kang jadi kenyataan kita yang menyesal tak sudah.”
Daneal mendiamkan diri.
“Tiga hari aje, Neal.”
“Kalau Ummi dengan Abi dah setuju, Neal ikut ajelah.” Putus Daneal akhirnya.
“Alhamdulillah..”
Daneal berjalan masuk ke dalam biliknya. Diambil sebatang pen basah berwarna biru dan ditulis nama, nombor surat beranak, alamat surat menyurat, namanya dan nombor kad pengenalannya serta nombor telefonnya di atas kertas itu. Dibaca sekali lagi isi surat itu sebelum menurunkan tanda tangan di bahagian bawah sebelah kiri surat bersaiz A4 itu.
Semoga segalanya berjalan dengan lancar.
SUARA merdu itu bergema disetiap sudut ruang dibiliknya. Alunan ayat suci al-Quran begitu sedap pada pendengaran sesiapa yang mendengarnya. Seusai mengerjakan solat Isyak, Meera terus mencapai al-Quran miliknya yang pernah dihadiahkan Syafiq lapan tahun yang lalu sebelum lelaki itu pindah ke luar negara.
Surah ke lima puluh enam dengan jumlah sembilan puluh enam ayat menjadi pilihannya untuk dialunkan pada malam ini. Surah Al-Waqi’ah adalah antara surah-surah yang paling diminatinya. Boleh dikatakan, dia sudah bisa menghafal surah itu sehingga selesai. Alhamdulillah.
Kesemuanya berkat dari Syafiq yang mengajarkannya petua supaya senang mengingati dengan meletakkan buah tin dihujung lidah kemudian mulai membaca. Dengan cara itu, kita akan cepat mengingati segala apa yang kita baca. Insya Allah..
Sejurus selepas dia selesai membaca Surah Al-Waqi’ah, telefonnya mengeluarkan nada dering rancak tanda ada panggilan masuk. Pantas dicapai telefonnya dan terus melekapkannya ke telinga.
“Assalamualaikum..” Sapa lelaki dihujung talian.
“Waalaikumussalam. Kenapa?”
“Esok kita nak gerak jam berapa?” Tanya Syafiq.
“Dalam pukul sepuluh macam tu. Jadi pukul tujuh kau dah kena ada kat tadika aku.” Dilabuhkan punggungnya diatas katil empuk miliknya.
“Aik, apsal aku kena datang awal pulak?”
“Yelah. Siapa nak tolong aku angkut barang bebudak tu kalau bukan kau?”
“Along kau, ayah kau?”
“Dia orang dah gerak petang tadilah.”
“Jadi kau tinggal sensorang kat rumah kau?”
“Tak. Ada samdol ni hah.” Dijeling Pyka yang sedap tidur disebelahnya.
“Samdol?”
“Pyka.”
“Pyka pun ikut sekali? Wah, dah lama aku tak jumpa dia.”
“Memey ah. Takkan aku nak ajak kau sorang aje. Esok kau jumpalah dia. Peluk cium bagai ek.” Senyuman terukir dibibir.
“Hish.. tak hingin aku nak peluk cium bagai. Baik aku peluk cium kau, kan.”
“Gigit hidung tu karang. Tak habis-habis dengan kenakalan kau tu kan.”
Syafiq ketawa halus dihujung talian.
“Hmm weh.. aku ada sesuatu nak beritahu kau ni.” Ujar Meera apabila dia mengingati kisah yang diceritakan along petang semalam.
“Hah.. pasal apa?”
“Pasal along aku dengan kakak kau.”
“Bagitahulah.”
“Esok aku beritahu kau ek? Orang lain tak boleh dengar benda ni.”
“Suka hati kaulah. Tapi aku dengar macam penting aje.”
“Memang penting pun. Soal masa depan dia orang.”
“Wau! Esok aku tahu kau story-mory kat aku ek? Jangan ada satu pun yang tinggal.”
“Okay bebeh. Assalamualaikum.”
Telefon diletakkan di atas meja kecil sebelah katilnya. Masalah itulah yang memberatkan otaknya tika ini. Kenapalah along tak beritahu selepas sahaja keluarga Syafiq pulang petang tu? Tak ku sangka, along menyimpan kisah ini begitu lama. Kenapa dia tak beritahu aku dari dulu?
Keluhan dilepaskan.
No comments:
Post a Comment
Buah fikiran anda amatlah di hargai.